2006/01/22

009. Sharifah Maryam: GCE O 2001

Inilah kali pertama aku akan ke rantauan untuk melanjutkan pelajaranku. Amerika akan menjadi tempat kediaman sementaraku tidak lama lagi. Betapa gembiranya aku diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di sana kerana itulah cita-citaku semenjak aku masih di bangku sekolah lagi. Aku rasa bersyukur setelah cita-citaku dan kedua ibu bapaku akhirnya terkabul juga.

Walaupun aku berasa gembira, aku masih belum berpuas hati kerana aku masih di peringkat awal dan mempunyai banyak lagi tanggungjawab untuk dipikul. Dengan kejayaanku setakat ini, aku tetap berasa bangga terhadap diriku kerana telah membuat keluargaku gembira. Air mata yang mengalir bukan hanya menunjukkan kegembiraan tetapi juga kesedihan yang akan kuhadapi.

Betapa sedihnya aku kerana akan meninggalkan keluarga kesayanganku lalu ke Amerika bersendirian. Pelbagai persoalan bermain di fikiranku. Siapakah yang akan menjaga mereka ketika aku berada di Amerika? Bagaimana jika mereka jatuh sakit? Aku sangat risau akan keselamatan mereka nanti. Namun aku cekalkan hati lalu menyerahkan kepada takdir. Aku berdoa semoga mereka diberikan kesihatan. Aku akan rasa keseorangan apabila aku di sana kerana tiada teman untuk mengadu jika aku bersedih dan tiada teman untuk bergurau senda. Aku masih berfikir apa yang akan berlaku kepadaku di sana.

Aku juga mempunyai perasaan takut untuk tinggal di Amerika kerana tidak mengenali sesiapa di sana. Aku tidak tahu bagaimana keadaan di sana dan takut jika aku akan sesat lalu ditipu oleh orang yang tidak dikenali. Aku juga rasa seperti tidak selamat jika berada di sana.

Cuaca di Amerika tidak sama seperti cuaca di Singapura lalu boleh membuat aku jatuh sakit. Kebimbangan timbul jika aku jatuh sakit kerana aku tidak mempunyai sesiapa yang boleh menjagaku nanti. Jikalau aku sakit, ibu akan menjagaku di rumah sehingga aku sihat. Aku juga akan menjadi bingung kerana jika aku sakit nanti, aku tidak akan tahu ubat apa yang harus dibeli kerana ubat di sana mungkin berbeza dengan ubat di sini. Kerisauan timbul kerana aku mungkin tidak dapat menjaga diriku seperti ibu menjagaku.

Dengan kerisauan ini juga, ia telah menguatkan lagi semangatku untuk mengatasi segala rintangan dan masalah yang akan kulalui. Perasaan ghairah juga mula timbul. Aku tidak sabar lagi untuk ke Amerika kerana aku ingin mengetahui lebih lanjut tentang budaya dan cara hidup di sana supaya aku boleh berkongsi pengalamanku bersama keluargaku. Aku juga boleh mula menyesuaikan diriku di sana. Kini aku hanya boleh berdoa agar semua berada dalam keadaan yang selamat.


(383 perkataan)


Comments:
Suatu topik karangan yang agak mencabar dan boleh membosankan tetapi kamu telah berjaya melakukannya tanpa membosankan pemeriksa. Terdapat beberapa kesalahan bahasa yang kecil dan boleh diatasi.

35/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?