2006/02/16

019. Nur Jalilah Lokman: GCE O 1998

Berita yang aku terima itu sungguh tidak aku duga. Aku lantas memberitahu kawanku. Aku telah mendapat 18 mata dalam Peringkat O. Kegembiraan yang dirasai tidak dapatku lafazkan. Aku berasa bersyukur kepada Tuhan. Aku ingat lagi cabaran dan halangan yang harusku tempuhi sebelum mengecapi kejayaan ini. Ketika itu, aku baru sahaja tamat menengah tiga.

“Aku rasa aku hendak menceraikan kau. Aku sudah tidak dapat melihat atau merasakan kebahagiaan dalam rumah tangga kita ini!” bapaku berkata.

“Ok! Itu cadangan yang baik. Maklumlah sudah ada perempuan jijik itu yang boleh jaga kau!” ibuku membalas.

“Apa perempuan jijik?! Sudah kurang ajar eh!” bapaku menengking lalu menghayun tangannya ke arah pipi ibuku.

Itulah hari terakhir aku melihat bapaku. Aku tidak menyangka bahawa dia tergamak melafazkan kata-kata cerai terhadap ibuku di hadapanku. Aku mula menyimpan dan memendam perasaan benci terhadapnya. Bukan dengannya sahaja tetapi juga ibuku sendiri. Aku tahu bahawa dia pun sudah mula menggatal dengan lelaki lain. Kadangkala, ibuku akan membawa lelaki yang aku tidak kenali ke rumah. Oleh sebab itulah, aku kadangkala pun akan menumpang di rumah kawan nakalku. Aku malu melihat keadaan di rumahku dan aku mahu lari jauh supaya tidak menyaksikan adegan-adegan yang memualkan di rumah. Aku mula bosan dengan sikap ibuku itu. Oleh kerana kedua ibu bapaku tidak memberi
perhatian terhadapku, aku sudah bagaikan tiada arah tujuan dan mula menjadi seperti remaja liar. Aku membuang masa dengan melepak bersama kawan-kawanku yang nakal. Aku juga mula membuat apa-apa sahaja untuk melupakan derita yang ku alami. Aku sudah mula berjinak-jinak dengan rokok dan minuman keras.

Sekolah pun sudah dibuka. Hari demi hari, aku semakin malas untuk belajar. Aku sering tertidur di dalam kelas dan tidak mendengar guru-guruku yang mengajar. Akibatnya, aku dimarahi. Perubahanku ini diperhatikan oleh kawan sedarjahku, Sophia.

“Jas. Kau ada apa-apa
masalah yang hendak kau beritahu aku?” Sophia bertanya.

Apa pasal kau hendak tahu!? Sudah tahu jaga tepi kain orang!” aku berkata.

“Aku cuma mahu membantu kau. Kau ini macam sudah berubah! Engkau tidak sedarkah yang kita tinggal lagi beberapa bulan sahaja untuk menduduki peperiksaan GCE Peringkat O! Kau ingat kau boleh lulus kalau kau terus begini?!” Sophia membalas.

Aku pun memberitahunya apa yang telah
terjadi pada diriku. Sophia mengesyorkan agar aku berjumpa dengan kaunselor sekolah. Aku terima usulannya dan membuat temu janji dengan Auntie Jasmine, kaunselor sekolahku. Aku memberitahu masalah keluargaku kepada kaunselor itu. Aku berkata kepadanya bahawa aku menjadi sebegini kerana sudah tiada kasih sayang yang diberikan oleh kedua ibu bapaku kepada diriku. Aku juga cepat terpengaruh dengan kata-kata kawan. Kaunselor itu faham akan keadaanku. Dia menggalakkan aku untuk berbaik semula dengan ibuku. Mujurlah, pada waktu yang sama ibuku sedar akan kesilapannya itu.

Demi masa hadapanku, aku mula belajar bersungguh-sungguh untuk Peringkat O. Aku cuba mendapat pertolongan daripada guru-guru dan kawan sedarjah jikalau aku tidak faham dalam sesatu topik pelajaran. Aku juga menghabiskan masa senggangku untuk belajar. Apabila sudah tiba masanya untuk mengambil peperiksaan GCE Peringkat O, aku sudah cukup bersedia.

Aku terbangun dari lamunanku. Dalam genggamanku sekeping kertas tipis yang menentukan destinasi yang boleh ku tujui selepas sekolah menengah. Akhirnya, aku berjaya meraih keputusan yang agak baik. Aku bertekad untuk melanjutkan pelajaranku ke Politeknik. Terbayang dalam fikiranku kejayaan-kejayaan yang boleh ku raih pada masa-masa akan datang. Aku sedar bahawa aku tidak boleh mengubah keadaan di antara ibu dan ayahku tetapi aku tahu bahawa aku harus tabah menghadapi segala dugaan hidup. Dugaan-dugaan hidup ini akan memberikan aku kekuatan untuk terus berjaya.

018. Nur Jalilah Lokman: GCE O 1998

Pada tanggal 2 Mac 2005, semua pelajar menengah tiga telah menghadiri perkhemahan di Dairy Farm. Memori tentang perkhemahan itu masih segar lagi di dalam ingatan saya. Saya mendapati bahawa dengan adanya perkhemahan itu, saya lebih mengenali rakan sedarjah saya. Bukan itu sahaja, saya juga mempelajari betapa pentingnya nilai-nilai berkomunikasi secara efektif, saling bekerja sama dan bantu membantu itu dalam kehidupan.

Pada pagi hari tersebut, semua pelajar menengah tiga telah diarahkan untuk berhimpun di dewan sekolah. Kemudian, ketua perkhemahan dan pelatih-pelatih yang akan mendampingi kami di sepanjang perkhemahan diperkenalkan. Selepas itu, setiap pelajar di dalam kelas diasingkan kepada dua kumpulan iaitu mengikut nombor indeks genap dan ganjil dalam senarai kelas.

Seterusnya, saya dan rakan yang bernombor indeks ganjil memperkenalkan diri kepada instruktor yang mengambil kumpulan kami. Kami juga membuat peta minda tentang kumpulan kami.

Dalam pukul sepuluh setengah pagi, kami berangkat ke tapak perkhemahan Dairy Farm. Saya berasa sungguh ghairah dan tidak sabar untuk melihat tempat itu. Setibanya di tempat itu, kami semua diarahkan untuk duduk di kantin. Ketua perkhemahan itu memberikan taklimat tentang tapak perkhemahan kami dan menyampaikan peraturan-peraturan yang harus kami patuhi semasa penginapan kami di sana. Selesai sahaja sesi taklimat, kami pun membawa beg ke tempat tidur kami. Saya begitu gembira kerana tempat tidur itu kelihatan baru dan tandasnya berdekatan sahaja.

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas tengah hari. Maka, sudah tibalah masanya untuk makan. Saya berasa puas hati dengan juadah yang dihidangkan. Selepas menikmati juadah tengah hari, kami mula berangkat ke Hutan Simpanan Bukit Timah yang agak berdekatan dengan tapak perkhemahan kami. Alangkah indahnya suasana hutan yang permai itu. Saya kagum melihat keindahan flora dan fauna yang ada di sana. Segala kepenatan dan halangan yang terpaksa kami tempuhi semasa berada di hutan simpanan tersebut seperti berbaloi apabila saya terkenangkan perasaan tenang yang saya alami semasa dikelilingi oleh kehijauan alam semula jadi.

Pada waktu malamnya pula, sekali lagi kami makan bersama dan menghiburkan hati dengan menyanyikan lagu bersama-sama. Saya berasa amat seronok pada malam tersebut walaupun sesekali terasa juga rasa seram kerana jarang berada di luar rumah pada waktu-waktu begini. Mujurlah tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku semasa malam pertama berada di tapak perkhemahan Dairy Farm.

Pada hari kedua, aktiviti yang sepatutnya kami lakukan mengkehendakkan kami melalui elemen-elemen tinggi. Tujuan kami melalui elemen-elemen tersebut ialah untuk membantu kami mengatasi perasaan takut terhadap tempat-tempat yang tinggi dan pada waktu sama membina keyakinan diri. Saya masih ingat lagi perasaan saya yang seram sejuk memikirkan sama ada saya berkeupayaan untuk mengatasi cabaran-cabaran elemen tinggi yang ada. Walau bagaimanapun, sebelum sempat kami memulakan aktiviti elemen tinggi, cuaca tidak mengizinkan kami meneruskannya. Maka terpaksalah kami dibawa ke tempat teduh untuk aktiviti-aktiviti lain. Pada waktu itu, saya tidak pasti sama ada saya gembira dengan keadaan yang sedang hujan ataupun hampa kerana tidak dapat melalui aktiviti elemen tinggi seperti yang telah dirancangkan.

Walau bagaimanapun, Saya tetap mempelajari banyak perkara semasa aktiviti-aktiviti kumpulan yang dirancangkan. Antaranya berkomunikasi secara efektif dan bekerja sama antara satu sama lain. Saya menyedari bahawa kita pasti tidak akan ke mana-mana tanpa nilai-nilai tersebut.

Hari yang ketiga merupakan hari yang terakhir untuk kami di perkhemahan Dairy Farm itu. Saya berasa girang kerana dapat menghadiri perkhemahan itu tetapi pada waktu yang sama, berasa hiba kerana harus berpisah dengan instruktor-instruktor yang telah bersama kami sepanjang perkhemahan tersebut. Oleh itu, saya tidak melepaskan peluang untuk turut mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan. Saya pasti bahawa pengalaman yang saya perolehi di sepanjang perkhemahan di Dairy Farm akan saya ingati hingga akhir hayat saya.

2006/02/06

017. Adilah Othman: GCE N 1999

Aku telah tiba di tempat yang diarahkan oleh suara di telefon tadi. Perhentian bas itu agak terpencil dan tidak ramai orang yang lalu-lalang di situ. Kemudian, aku terdengar satu letupan yang begitu kuat sekali. Aku menjadi bingung. Keadaan di situ menjadi huru-hara.

Kebetulan, hutan di seberang jalan itu pun mula terbakar. Kepulan asap hitam kelihatan menuju ke udara. Kabut yang bercampur debu sedang terapung-apung di udara sehingga mengakibatkan pemandangan menjadi kabur dan kotor. Pada masa yang sama, ada seorang wanita membuat panggilan kecemasan. Lantas, aku menjadi semakin gelisah dan risau tentang keadaan Tina, adikku. Sudah dua minggu dia telah lari dari rumah. Sejak kematian emak dan ayah, aku telah diamanahkan untuk menjaga Tina.

Aku begitu sibuk sehinggakan perihal adikku sendiri langsung aku tidak pedulikan. Selang beberapa hari setelah aku menyedari tentang ketiadaannya, aku semakin resah dan mula mencarinya di merata tempat sehinggalah aku menerima panggilan telefon. Kedengaran suara Tina seperti sedang meronta-ronta dan menangis terisak-isak merayu agar aku segera menyelamatkannya.

Beberapa minit kemudian, pihak polis dan pegawai bomba tiba. Aku tidak mengerti apa yang sedang aku tunggukan. Kelihatan beberapa anak gadis seusia Tina yang menjerit-jerit meminta tolong. Aku ternampak wajah Tina dan terus mendampinginya. Tidak pernah aku melihat betapa sedih dan perit baginya menanggung segala penderitaan itu. Mujurlah, Tina tidak apa-apa.

Aku juga ternampak beberapa wanita dan lelaki yang merupakan bangsa asing yang diberkas polis. Keesokan hari, aku melawat Tina di hospital yang kebetulan sedang disoal siasat oleh dua pegawai polis. Rupa-rupanya, ramai gadis yang telah terperangkap dan disuruh mempersundalkan diri. Dengan melibatkan diri dalam perhubungan kelamin secara haram itu, keuntungan mereka semakin berganda. Atas dasar kebodohan Tina, dia telah termakan dengan kata-kata mereka yang menjanjikan wang lumayan jika dia setuju untuk bekerjasama. Sejak peristiwa itu, perhubungan kami amat berbeza sekali. Kami menjadi semakin akrab. Perangainya mula berubah. Aku amat bersyukur bahawa aku masih mempunyainya di sisi. Kini, tidak ada apa-apa yang boleh memisahkan kami lagi. Aku berjanji pada diriku bahawa aku akan melaksanakan tanggungjawabku dengan betul.

(324 patah perkataan)

2006/02/04

016. Adilah Othman: GCE O 2004

Dompet itu aku buka. Terpapar sekeping gambar hitam putih. Sebuah keluarga kelihatan begitu mesra bersama. Aku merenung dan semakin tertarik kepada gambar itu.

Aku mengimbas kembali saat-saat bahagia yang aku alami ketika aku masih kecil bersama kedua-dua ibu bapaku. Aku sering dimanja, dicurah kasih sayang dan diberi perhatian yang sepenuhnya. Namun, ketika aku berusia 15 tahun, keadaan semakin gawat dan ayah pula dibuang kerja. Ayah seorang sahajalah yang menampung duit perbelanjaan kami sekeluarga selama ini. Ibu pula terpaksa mencari kerja sambilan demi mencari duit untuk memberi kami makan buat sementara waktu. Aku pula, cuba berjimat-jimat wang dan hanya berbekalkan nasi dan telur untuk dimakan di sekolah.

Lebih merumitkan lagi, ayah sudah mula terjebak dalam kancah dadah. Dalam keadaan sesak dan tertekan, ayah telah berjanji pada temannya untuk menolong menjual dadah. Lama-kelamaan, keadaan keluargaku menjadi semakin gawat. Ketagihan ayah pada dadah semakin meluap-luap. Ibu sering dipukul bantai jika tidak memberinya wang untuk membeli dadah. Lebih menyedihkan lagi, ibu dipaksa menagih agar menanggung penderitaan yang sama seperti ayah.

Apabila pertelingkahan mereka bermula, aku hanya dapat melihat betapa teruknya ibu dibelasah. Apakan daya, aku tidak boleh membuat apa-apa. Kadangkala, sehingga tiga hari aku tidak diberi makan kerana sudah kehabisan wang. Aku hanya dapat bersabar. Tempatku mengadu kini hanyalah kepada datuk dan nenekku sahaja. Pernah juga aku diejek di sekolah sebagai “anak jijik” dan bermacam-macam cacian. Namun, aku tetap tabahkan hati.

Nenek dan datuk sudah tidak tahan lagi melihat keadaan ibu dan ayahku. Mereka melaporkan anak dan menantu mereka sendiri kepada pihak polis. Aku dapat merasakan betapa hancurnya hati nenek kerana kesalahan yang telah anak kandungnya sendiri lakukan. Malangnya, sehari selepas mereka ditangkap, datuk mengalami serangan jantung. Datuk cuba bertahan sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Amir, Amir? Dengar tak apa yang nenek cakapkan tadi? Marilah kita jalan sekarang.”

Aku hanya tersenyum lantas mengekorinya dari belakang. Selepas itu, kami menyerahkan dompet itu kepada polis. Kini, aku tinggal bersama nenek. Dengan mengimbangi masa untuk kerja dan sekolah, aku pula yang menampung kehidupan nenek. Peristiwa yang berlaku empat tahun yang lalu itu aku cuba ketepikan. Yang penting bagiku sekarang ialah untuk belajar bersungguh-sungguh agar mempunyai masa depan yang cerah.

(350 patah perkataan)


015. Siti Farhana Md Ali: GCE O 2001

Fitri duduk termenung memerhatikan sebuah keluarga yang kelihatan begitu riang berkelah di tepi pantai. Dia teringat kembali saat-saat bahagia yang dilalui bersama keluarganya. Kini, dia hanya merindukan kasih sayang keluarganya yang tercinta.

Kehidupnya berubah setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Semenjak peristiwa itu, dia tinggal serumah bersama neneknya yang sudah uzur. Walaupun baru berumur lima belas tahun , dia terpaksa bekerja separuh masa di restoran tempatan untuk menampung perbelanjaan rumah dan yuran sekolahnya.

“Fitri, jagalah dirimu dengan baik dan jangan berputus asa dengan apa sahaja yang kamu lakukan. Jadilah seorang yang bertanggungjawab dan lebih matang apabila kamu dewasa nanti.” Itulah kata-kata yang disampaikan oleh neneknya sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir.

Kehidupan Fitri semakin susah setelah pemergian neneknya kerana tiada seorang pun saudara-maranya yang mahu membantunya. Mereka memberi alasan bahawa mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing dan takut tidak mempunyai masa untuk bersama dengannya. Fitri berasa tertekan dan terlalu sedih sehinggakan dia terpaksa berhenti sekolah. Pada masa itu, Fitri hanya berbekalkan ijazah peperiksaan peringkat ‘O’ dan tidak mempunyai sebarang wang.

Fitri berasa terbiar dan tidak tahu di mana harus dia berteduh. Fitri terpaksa tabah apabila dihantar ke rumah kebajikan anak-anak yatim oleh pihak sekolahnya. Fitri sedar dia tidak mempunyai sesiapa lagi selain rakan-rakan dan kaunselor. Di sana, Fitri bagaikan memulakan kehidupan yang baru. Dia diberikan peluang untuk belajar semula dan akhirnya Fitri dapat meneruskan pelajarannya ke Universiti Nasional Singapura.

Fitri tidak lagi tinggal di rumah kebajikan kerana sudah boleh menampung diri sendri. Dia kini tinggal bersendirian di sebuah rumah flat yang dipenuhi dengan bingkai-bingkai gambar keluarga yang membawa semula memori-memori lama. Apabila masa lapangnya, dia sering meluangkan masanya bersama anak-anak yatim di rumah kebajikan kerana di situlah dia belajar berdikari dan menjadi seorang yang matang. Dia juga sering menceritakan kisah silamnya yang susah kepada anak-anak yatim itu supaya mereka dapat mempelajari sesuatu yang berguna.

Hari yang sudah senja yang menandakan azan Maghrib akan tiba telah mengejutkan Fitri dari lamunan kisah-kisah lamanya. Fitri tersenyum sinis serta bersyukur kerana dapat membina sendiri kehidupannya yang lebih baik dan sempurna walaupun terpaksa mengharungi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri pada mulanya.

(351 perkataan)


014. Siti Farhana Md Ali: GCE O 1998

Nun jauh di tepi bangunan sekolah, Roslan duduk sendirian. Tragedi yang menimpa keluarganya telah mengubah sikapnya. Aku tahu dia perlukan bantuan daripadaku tetapi aku gagal untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Pada tanggal 9 Oktober 2002, kehidupan Roslan mulai berubah. Ia berpunca daripada keputusan ibu bapanya yang mahukan penceraian. Akibat keputusan tersebut, Roslan berasa tertekan dan sedih mengenangkan nasib dirinya.

“Ibu, janganlah membuat keputusan dengan terburu-buru. Lan masih memerlukan curahan kasih sayang ibu dan ayah. Lan tidak mahu keluarga kita berpecah! ” rayuan anak tunggal yang bernasib malang itu tidak sama sekali menyentuh perasaan ibu bapanya.

Namun, ibu bapanya tetap berpegang kepada keputusan mereka. Roslan hanya dapat berserah kepada takdir. Roslan enggan meminta tolong kerana tidak mahu keadaan keluarganya diketahui oleh orang. Walau bagaimanapun, aku sedar bahawa rakanku mempunyai masalah tetapi aku sendiri takut untuk menghampirinya untuk mengetahui hal yang sebenarnya. Aku hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja Roslan yang kadangkala dibuai oleh perasaan emosinya dan perangainya yang degil.

Setahun sudah berlalu setelah ibu bapanya bercerai. Kini Roslan tinggal bersama ayahnya kerana dia tidak mahu tinggal bersama ibunya yang sudah bernikah lagi. Walaupun dia tinggal di samping ayahnya, dia tidak mendapat sepenuh perhatian kerana perangai ayahnya yang suka berfoya-foya dengan wanita-wanita di kelab-kelab malam.

Oleh kerana itu, Roslan selalu bergaduh dengan rakan sekolahnya dan sering bersikap biadap dengan guru-guru. Pelajar yang dahulunya mempunyai semangat yang kental untuk belajar kini sudah tidak lagi berminat untuk meneruskan persekolahannya. Roslan akhirnya tercicir dari sekolahnya. Pada saat itu juga , aku benar-benar kecewa kerana tidak dapat membantunya.

Dua tahun kemudian, aku seperti tidak percaya apabila terlihat wajah Roslan di kaca televisyen. Roslan muncul di kaca televisyen kerana menjadi salah satu pelajar terbaik bagi keputusan peperiksaan peringkat ‘O’. Aku berasa gembira dengan pencapaiannya.

Tanpa disedari, Roslan datang ke arahku dan menepuk bahuku. Aku dikejutkan daripada khayalanku. Kita bersalaman dan berpelukan erat kerana sudah lama tidak berjumpa. Roslan memberitahuku bahawa dia menyesal dengan perangainya yang degil dahulu. Dia juga mengatakan bahawa dia sering duduk di tepi bangunan sekolah untuk mengimbas kembali kehidupan silamnya. Akhirnya, sikap Roslan berubah dan dia kini seorang yang lebih beryakinan. Aku pun mengajak Roslan pulang ke rumahku untuk makan malam bersama.

(357 perkataan)


013. Nur Amirah Mathuri: GCE O 1998

Suatu pengalaman yang lain daripada yang pernah saya alami, masih segar di ingatan. Ia sangat bermakna pada saya, kerana ia telah banyak mencabar kesabaran, minda dan juga fisikal saya.

Kakak saudara saya bersama rakan sekerjanya akan mengatur acara Maraton Standard Chartered tahun ini dan memerlukan beberapa orang sukarelawan untuk menolongnya di sana. Lalu, dia meminta pertolongan daripada saya, kakak saya dan juga adik beradiknya.

Kami bermula pada jam 11 malam di pejabat kakak saudara. Di sana, kami semua diberi satu baju dan pas setiap seorang yang telah disediakan khas untuk sukarelawan acara maraton itu. Kerja dibahagikan kepada kami berlima. Masa berlalu seperti kilat. Akhirnya, kerja-kerja yang patut kami buat sudah pun selesai. Lega rasanya.

Kami terus ke Padang di mana acara itu akan diadakan dan mula mengasingkan saiz-saiz baju untuk peserta-peserta yang akan lari nanti. Kami bekerja secepat mungkin, kerana masa yang ada begitu terhad.

Tidak lama kemudain, makanan katering pun tiba, kami harus mengangkat makanan yang dibekalkan dari lori ke khemah. Ia adalah satu cabaran bagi kami kerana setiap kotak berisi 50 epal dan setiap bakul berisi 54 paket makanan. Saya bertekad untuk menguji kekuatan saya. Mujurlah, saya berjaya untuk mengangkat beberapa kotak itu dari lori ke khemah sendiri. Tetapi bakul-bakul itu terlalu berat, jadi kami membiarkan sukarelawan lelaki yang lain untuk mengangkatnya.

Semua makanan itu pula harus dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan di situ. Kami harus cepat bergerak, kerana ada banyak kumpulan sukarelawan. Akhirnya, setelah semua telah dibahagikan seadilnya, ada beberapa makanan berlebihan. Kami pun makan makanan yang berlebihan itu dan minum air yang secukupnya untuk mendapatkan tenaga kami semula untuk tugasan yang akan datang.

Pada jam 6 pagi, kami dipanggil semula untuk tugasan yang seterusnya. Kali ini, kami harus berpisah dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan. Kami harus membahagikan 50 keping papan tulis kecil bersama pen kepada penyokong-penyokong, supaya mereka boleh menuliskan kata-kata perangsang untuk pelari-pelari acara itu. Saya bernasib baik kerana dapat memberi 27 set keseluruhannya.

Yang lain hanya mampu memberi sedikit sahaja. Mereka berasa hampa, jadi saya menceriakan mereka dengan menceritakan reaksi penyokong-penyokong di lokasi saya apabila diminta untuk mengambil satu set seorang. Kami pun mula berganti-ganti menceritakan pengalaman masing-masing sambil berpatah balik ke Padang. Kami semua berasa sangat letih, ditambah pula dengan cuaca yang panas terik pada hari itu.

Di Padang, kesemua sukarelawan diminta mengisi borang dan beratur untuk mendapatkan gaji, yang berupa $20 wang tunai. Saya bersama saudara mara saya memberi peluang sukarelawan yang lain untuk beratur dahulu. Saya memerhatikan bahawa ramai sukarelawan di situ adalah remaja. Saya rasa ia adalah sesuatu yang baik. Oleh kerana ada seramai 600 sukarelawan, kami harus menunggu 2 jam untuk giliran kami. Kami berasa puas kerana kami telah menolong dengan ikhlas. Walaupun kami letih kerana telah bekerja selama 16 jam tanpa tidur, kami pasti akan membawa pulang banyak pengalaman dari acara ini. Tidak mungkin saya akan dapat melupakan acara ini.

(400 perkataan)


012. Nur Amirah Mathuri: GCE O 1999

Pada masa itu, saya hanya berumur enam tahun. Seperti biasa, setiap hujung minggu, kami saudara mara semua akan berhimpun di rumah nenek. Pada hari itu, selepas bermakan malam, mak cik saya sekeluarga bercadang untuk pulang. Saya sekeluarga pun mengambil keputusan untuk menemani mereka ke perhentian bas yang terletak tidak begitu jauh dari rumah nenek saya. Dalam perjalanan ke perhentian bus, kami melalui tempat meletak kereta. Secara kebetulan saya terpandang ke kanan.

Mata saya melekat pada suatu pandangan itu. Terdapat tiga ekor kucing yang sedang tertiarap di bawah sebuah kereta Toyota berwarna hitam. Seperti biasa, saya mula rasa ghairah dan ingin merasa bulu kucing-kucing yang halus itu. Saya berhenti di hadapan kereta itu, memerhatikan kucing yang di tengah. Ia kelihatan muram dan tidak bermaya. Saya mula rasa kasihan terhadap kucing itu. Saya mula menyangkung di hadapannya dan membelainya.

“Adik, cepatlah! Sudah, jangan main dengan kucing tu lagi.” teriak kakak saya.

Dengan hati yang berat, saya pun meninggalkan tiga kucing itu bersendirian.
Saya sambung berjalan. Saya menoleh ke belakang untuk melihat kucing itu lagi. Saya terperanjat apabila melihat ketiga-tiga kucing itu sedang megikut saya dari belakang. Saya mula rasa tak selesa. Saya, kakak saya dan saudara saya mula berasa takut. Kami berjalan dengan lebih pantas. Saya toleh ke belakang sekali lagi untuk melihat sama ada kami masih diikuti oleh kucing-kucing itu. Ternyata, mereka masih di belakang kami.

Tiupan angin yang bersepoi-sepoi menambahkan rasa ketakutan kami. Mata kucing-kucing itu kini nampak begitu garang. Mereka memandang kami dengan begitu tajam sekali. Bulu roma saya mula berdiri tegak. Saya dapat merasakan bahawa kucing-kucing itu semakin cepat mengikut jejak langkah kami. Fikiran saya buntu, saya mengajak kakak dan saudara saya untuk lari dan berpisah.

Kucing itu dengan pantas mengejar kami. Saya sempat bersembunyi di belakang sebuah tembok. Salah seekor kucing itu dengan tiba-tiba melari ke hadapan saya dan melompat. Saya menjerit kesakitan, kucing itu telah mencekau peha kanan saya. Kakak dan saudara saya pun menuju ke arah saya. Pada masa itu, kucing itu sudah tiada di situ. Melihat keadaan saya, kakak saya lari memanggil ibu bapa saya yang sudah jauh di hadapan. Saya duduk tergamam. Saya bingung dengan apa yang telah berlaku.


Saya dibawa ke hospital untuk dirawat. Sejak hari itu, hingga kini, saya masih tidak boleh membawa diri saya untuk berjinak dengan sebarang kucing. Kejadian itu benar-benar telah mengubah hidup saya.

(376 perkataan)


This page is powered by Blogger. Isn't yours?