2006/03/05

034. Nurfarahin Muhammad: GCE O 1998

“Awak, sebagai ibu dan bapa, haruslah menjaga disiplin anak awak. Ini kali kedua saya menangkap anak awak menghisap rokok di bilik tandas perempuan. Ini adalah amaran yang terakhir saya berikan kepadanya!”

Guru disiplin memberi amaran tegas kepada ibu bapaku. Ibu bapaku hanya dapat mengucapkan terima kasih kepadanya. Mereka keluar dari bilik tersebut. Ibu bapaku merupakan peguam yang terkenal. Mereka jarang meluangkan masa untukku. Aku, seorang remaja, hanya menginginkan perhatian serta kasih sayang daripada ibu dan bapa. Bapaku sungguh marah akan kelakuanku yang bodoh itu. Perjalanan pulang kami senyap sekali kerana tiada seseorang pun yang ingin berbual.

Setibanya di rumah, aku terus lari ke bilikku. Tidakkah mereka tahu bahawa aku mendahagakan perhatian mereka? Aku cuma meminta masa bersama dengan mereka seperti rakan-rakanku yang lain. Aku menangis sambil menutup mukaku dengan bantal lalu aku tertidur.

Aku tersedar apabila mendengar ketukan pintu bilikku. Aku pun membukanya. Ibu menyuruhku turun kerana bapaku ingin berbincang dengan aku mengenai sesuatu. Aku pun turun tanpa menjawab.

“Mira, ayah sungguh kecewa dengan sikap kamu yang sudah mula menghisap rokok. Itu perbuatan yang tidak baik. Mulai hari ini, kamu tidak dibenarkan keluar hingga ke larut malam dan mula mengulangkaji di bilik kamu untuk peperiksaan akan datang!” ayah bercakap dengan tegas.

Sebelum aku sempat membantahnya, dia menyambung percakapannya.

“Ayah dan ibu kamu akan pergi ke London selama tiga hari. Pada waktu yang sama, kami dijemput oleh seorang klien kami ke suatu majlis ini sebagai tanda terima kasih atas pertolongan yang kami berikan kepadanya. Oleh kerana kami tidak dapat menghadiri majlis tersebut, ayah akan menyuruh Mira untuk pergi ke majlis itu untuk mewakili kami. Jikalau semuanya berjalan dengan lancar, ayah akan menarik balik semua hukuman yang ayah berikan kepada Mira,” ayah berkata.

Sudah tentulah aku akan sanggup pergi ke majlis tersebut. Aku tidak pernah menghadiri majlis sebegitu yang sungguh membosankan bagiku. Walau bagaimanapun, aku membuat perjanjian tersebut sambil tersenyum.

Keesokan harinya, ayah dan ibu berangkat sebelum aku bangun dari tidur. Aku agak hampa kerana tidak dapat melihat mereka pergi. Aku berasa keseorangan di rumah yang besar yang kami tinggal. Apabila matahari sudah terbenam, aku mula bersiap-siap untuk pergi ke majlis tersebut. Sesudah beberapa jam, aku menyuruh pemandu ayah untuk menghantar aku ke majlis tersebut.

Sebaik sahaja aku sampai di tempat tersebut, aku sungguh kagum dengan tempatnya yang sungguh lawa dan menakjubkan. Tempat sebegini mesti mahal. Aku dijemput oleh seorang lelaki yang berpakaian segak di pintu keretaku lalu menghulurkannya kad jemputan yang ayah aku berikan.

Setibanya di majlis itu, aku dapati tiada seorang tetamu pun yang aku kenali. Aku berasa malu dan takut kerana aku dapat merasakan seperti banyak orang yang memandangku. Acara yang diadakan sungguh rasmi. Aku pun duduk bersama orang yang tidak dikenali dan berasa sungguh janggal. Semua tetamu dijemput makan dan menari.

Selepas beberapa jam, musik berhenti dan seorang wanita mula memberikan kata-kata aluan kepada tetamu yang sudi menghadiri majlis tersebut. Aku tidak mendengarkan kata-katanya kerana aku sungguh letih dan bosan duduk di sana.

Tiba-tiba, lampu terang menyinari ke tempat dudukku dan orang semua mula menepuk tangan mereka, Aku terperanjat dan hairan. Wanita tersebut telah memanggil aku untuk naik ke atas pentas untuk memberikan satu ucapan yang ringkas. Aku panik kerana tidak bersedia. Aku pun bangun dari tempat dudukku dan naik ke atas pentas. Semua orang memberikan perhatian mereka yang sepenuhnya sambil menantikan aku mula berbual. Aku tergagap tidak tahu apa ingin dikatakan. Tanganku mula berasa sejuk. Aku pula berpeluh walaupun aku berada di tempat yang sejuk.

“Errm... saya, sebagai anak kepada Mohd dan Hamidah, mewakili mereka untuk menghadiri ke majlis ini. Mereka tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugasan lain... errmm, saya ingin mengucapkan...,” aku berhenti dengan tiba-tiba.

Aku dapat merasakan ada sesuatu yang tajam di leherku. Ada seorang lelaki yang memegang sebilah pisau dan menunjuk kepada aku. Aku panik dan memekik meminta tolong. Orang ramai pun memekik khuatir akan keselamatanku.

“Semua diam! Jikalau tidak, aku akan membunuh dia! Kamu semua tidak berhati perut! Abangku tidak bersalah, dia tidak patut dipenjara selama sepuluh tahun. Kami orang susah, abangku dipenjara tetapi kamu semua di sini boleh berhibur-hibur setelah kamu menang dalam kes tersebut yang mengakibatkan abangku jadi sengsara. Ini tidak adil!” seorang lelaki berteriak kemarahan.

Aku menangis ketakutan. Tidak lama kemudian, polis pun datang. Mereka memberi amaran kepada lelaki tersebut untuk melepaskan aku jikalau tidak, dia akan menghadapi akibat yang buruk. Dia ingkar lalu cuba mencucukkan pisau itu ke dalam dadaku. Kejadian itu terjadi dengan cepatnya. Aku terdengar tembakan pistol. Selepas itu, aku terus pengsan dan tidak menyedari apa yang berlaku seterusnya.

Mataku terkebil-kebil cuba dibuka. Aku melihat diriku dikelilingi oleh beberapa orang termasuk ibu dan bapaku. Ibu dan bapa aku berasa sungguh lega kerana aku sudah sedar. Aku tidak tahu apa yang telah berlaku dan ayah mula menceritakan kepadaku. Dia memberitahu bahawa lelaki itu tidak boleh menerima kenyataan bahawa abangnya yang dipenjarakan. Akibat terlalu tertekan, dia ingin membalas dendam dan apabila aku nyaris dibunuh, polis telah menembaknya.

Aku berasa sungguh bersyukur kerana dapat diselamatkan. Ayah pula berasa serba salah kerana jikalau dia tidak menyuruhku untuk pergi ke majlis tersebut, aku tidak akan dicederakan. Ayah dan ibu pun meminta maaf kerana mereka tidak mempunyai masa untuk meluangkan masa mereka bersama aku. Aku berasa gembira kerana kami sudah kembali menjadi sebuah keluarga yang bahagia. Aku pun meminta maaf kepada mereka kerana banyak menyusahkan mereka. Ayah memberitahuku supaya buang yang keruh ambil yang jernih. Ibu dan ayahku pun mendakapku penuh erat. Inilah hari yang aku nanti-nantikan selama ini.


033. Md Hafiz Md Yasin: GCE N 2003

Saya tidak suka akan orang yang bercakap bohong. Saya sendiri tidak pernah berbohong. Tetapi pada hari Sabtu yang lalu, saya telah berbohong kepada ibu.

“Ibu, petang nanti Hafiz dan kawan-kawan akan ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran Matematik,” ujarku dengan nada yang teragak-agak. Aku terpaksa berbohong demi menutup malu.

“Baiklah Hafiz, hati-hati ya, jangan pulang lewat,” pesan ibuku dengan nada yang pilu.

Ibu sudah bertahun-tahun mengalami masalah sesak nafas. Dia sering kelihatan lemah dan tidak berdaya untuk membuat kerja. Aku sebagai seorang anak tunggal, sering menolong ibu melakukan kesemua kerja itu.

Aku berasa serba salah. Patutkah ibu dibohongi? Aku menepis segala perasaan bersalahku. Aku lebih mementingkan kawan-kawanku. Mereka sentiasa berada di sisiku apabila aku memerlukan mereka. Jikalau aku memberitahu ibu yang aku hendak ke chalet, tentu ibu akan menghalang. Kawan-kawanku pula akan mula mengejek. Aku tidak sanggup untuk menanggung perasaan malu diejek oleh kawan-kawan.

Tanpa membuang masa, aku menyalin pakaian. Aku membawa sebuah beg sandang untuk mengisi pakaian supaya ia kelihatan seperti aku membawa buku-buku. Aku membawa tuala dan juga sabun.

“Hafiz, jangan pulang lewat ya,” pesan ibu sejurus selepas aku mencium dan mendakapnya.

Aku pun melangkah keluar dari rumah dengan hati penuh kebimbangan. Aku rasa amat serba salah. Aku yang berada di kaki lima blok sudah dapat mendengar bunyi batuk ibu.

Setibanya di chalet, aku pun menyalin pakaian. Kami makan, bernyanyi dan bermain bersama. Setelah penat bermain, kami pun terjun ke laut. Aku berasa terlalu gembira hingga terlupa akan pesanan ibu. Kami menyewa basikal dan berbasikal sekeliling Taman Permainan East Coast hingga waktu senja. Setelah berjam-jam bergembira, kami pun menyalin pakaian yang bersih dan aku pula membuang pakaian yang basah dan juga tuala supaya tidak diketahui ibu yang aku telah pergi ke pantai.

Jarum jam tangan menunjukkan sudah jam 7 malam. Matahari sudah lama terbenam. Burung-burung mula pulang ke sarangnya. Hari sudah mula gelap menandakan aku sudah terlewat pulang ke rumah. Hatiku berkata-kata,

”Ibu sedang menunggu. Dia memerlukan aku.”

Degupan jantungku semakin kencang. Aku berasa tidak selesa seolah-olah ibu sedang meraung kesakitan. Rantai yang aku pakai tiba-tiba terputus. Batunya terhempas ke bumi lalu berkecai. Rantai pemberian ibu itu sudah pecah. Aku mengutip serpihan batu yang pecah itu. Aku menggenggamnya.

Setibanya di kaki lima rumahku, pintu rumah terbuka luas. Aku ternampak
mak cik dan pak cikku sedang duduk di lantai. Mereka kelihatan amat sedih sekali. Ibuku terbujur kaku terbaring di hadapan mereka dengan matanya tertutup. Air mataku mula mengalir. Hatiku seperti terhempas ke bumi. Aku berasa terlalu sedih. Ibu sudah tiada lagi. Aku kehilangan seseorang yang amat aku sayangi. Aku menyesal dengan apa yang telah aku lakukan. Mungkin inilah balasan yang aku terima kerana berbohong. Seorang ibu itu lebih penting lagi daripada seorang kawan.

Aku telah mempelajari daripada kesilapan aku itu. Sekarang, aku tiada sesiapa lagi untuk bergantung kecuali nenekku. Sekarang aku tinggal bersamanya. Aku berjanji kepada diriku bahawa aku tidak akan berbohong. Aku amat menyesal sekali.


032. Md Hafiz Md Yasin: GCE N 2002

Cikgu Salha pernah memberitahu aku dan kawan-kawanku, "Kamu semua harus bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dalam hidup." Pada masa itu, aku tidak percaya akan kata-katanya. Walau bagaimanapun, suatu peristiwa telah mengubah fikiranku.

Aku ingin menjadi seseorang yang berjaya apabila sudah besar kelak. Itulah yang aku cita-citakan sejak kecil lagi. Aku harus berkerja keras. Walau bagaimanapun aku memang tidak percaya akan kata-kata Cikgu Salha. Aku menganggapnya sebagai mengarut. Aku percaya bahawa itu adalah rezeki masing-masing.

Apabila aku mula memasuki sekolah menengah, pelbagai kawan yang telah aku temui. Berbagai watak yang telah aku kenali. Ada yang rajin, pemalas, pembohong, pencuri dan bermacam-macam lagi. Tetapi, watak seorang pelajar perempuan ini telah menghambat hatiku. Apabila bertutur, kata-katanya semua teratur. Dia bersopan-santun dan bijak orangnya. Dia sangat cantik. Namanya, Aishah. Aku mula jatuh hati padanya. Kami mula berkenalan. Pada mulanya, hanya sebagai kawan biasa. Kami akan sering bertemu di ruang chat, bergurau dan lama-kelamaan, kami dapat mengenali diri masing-masing.

Pada suatu hari, aku terpaksa meluahkan perasaanku. Aku memberitahuya bahawa aku tertarik kepadanya. Dia pun mempunyai perasaan yang sama. Akhirnya kami menjadi lebih daripada kawan. Kami sering bertemu selepas sekolah. Kami akan duduk di kolong blok dan akan sering berbual di telefon, pergi makan bersama, sama seperti apa yang dilakukan pasangan-pasangan yang lain.

Lama-kelamaan, kami mula bercumbu-cumbuan. Kami akan berpelukan, mencium bibir dan sebagainya. Kelakuan kami, mengalahkan kelakuan orang-orang yang sudah berkahwin.

Sudah hampir empat tahun kami bersama. Pada tahun itu, kami akan menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’. Aishah sering berada di rumah untuk mengulangkaji pelajaran. Kami jarang bertemu semenjak itu. Aku berasa amat bosan. Walaupun peperiksaan sudah hampir menjelang, aku tidak mula menelaah pelajaranku. Aku sering duduk di rumah bermain permainan di komputer.

Beberapa bulan sudah berlalu, akhirnya hari yang dinanti-nantikan sudah tiba. Aku tidak bersedia langsung dan menjawab soalan-soalan peperiksaan tanpa berfikir. Setelah selesai peperiksaan itu, aku amat gembira sekali kerana memikirkan bahawa aku pasti boleh bersama dengan Aishah.

Apabila mendapat keputusanku, aku amat menyesal. Aku telah gagal dalam peperiksaan tetapi, Aishah lulus. Aku amat malu dan timbul perasaan menyesal yang amat sangat. Kini, baru aku sedar kata-kata Cikgu Salha itu memang betul. Aku menyedari bahawa walau bagaimana pandai seseorang itu, tanpa bekerja keras dan berusaha, dia pasti tidak akan lulus peperiksaannya. Aku mula menyimpan tekad untuk membuang sikap-sikap burukku dan berusaha gigih demi meraih kejayaanku di kemudian hari.


2006/03/04

031. Nurdayana: GCE O 1998

Nun jauh di tepi bangunan sekolah, Roslan duduk sendirian. Tragedi yang menimpa keluarganya telah mengubah sikapnya. Aku tahu dia perlukan bantuan segera. Aku sebagai kawan yang telah mengenalinya dari darjah tiga harus membantunya.

Roslan menunggu aku seperti biasa selepas sekolah untuk pulang bersama-sama kerana rumah kami beberapa blok bersebelahan. Aku bergurau dengannya tetapi kelihatan Lan tidak berupaya seperti orang sakit. Aku tahu Lan ada masalah dan aku akan cuba mencungkil masalah itu. Lan merenung mataku dengan tajam seperti hendak mencabut nyawaku. Aku menoleh ke arah yang lain. Gerun aku melihat muka Lan yang tiba-tiba menjadi garang. Lan meminta maaf tanpa sebab lalu melarikan diri daripada aku. Aku memanggil-manggil namanya tetapi Lan berlari berterusan. Aku menjadi musykil. Aku akan menelefonnya malam ini. Aku akan bertanya mengenai masalahnya.

Jam menunjukkan pukul 8.35 malam. Selepas solat Isyak, aku mengangkat gagang telefon lalu menekan nombor telefon bimbit Lan. Tetapi, tiada orang yang menjawab panggilanku. Aku menjadi risau. Kemungkinan Lan sedang belajar atau mahu bersendirian. Aku berdoa agar Lan tidak membuat perkara yang bodoh.

Keesokan harinya, selepas kendengaran loceng berdering menandakan sekolah telah tamat, aku bergegas keluar. Aku mencari-cari Lan tetapi batang hidungnya pun masih belum dapat dilihat. Aku menunggunya untuk sejam dan aku pasti Lan tidak mempunyai sebarang kelas tambahan. Aku memulakan perjalanan pulang.

Sementara aku sedang menunggu untuk bas 98 di perhentian bas, kelihatan seperti Lan di bawah kolong blok berdekatan. Aku pun menuju ke arah kolong blok itu. Ya! Lan! Tetapi, gayanya bukan seperti Lan. Lan tidak menghisap merokok atau berpakaian tidak senonoh. Kehidupannya cukup dengan ajaran agama dan dia tahu membezakan mana yang buruk dan baik. Aku memberanikan diri ku ke arah budak-budak lelaki yang liar itu.

“Ehk, orang baru ke?” Salah seorang daripada mereka berkata setelah melihat aku menghampiri mereka.

“Rina! Apa kau buat di sini? Kau patut pulang!”

Roslan terkejut dengan kehadiranku. Aku menyuruhnya mengikutku pulang tetapi dia enggan. Lan menarik tangan kanan aku hingga ke suatu sudut yang tersembunyi daripada pandangan kawan Lan. Lan mengatakan bahawa dia tidak ingin pulang dan mahukan aku melupakannya. Aku memarahinya kerana sebagai kawan harus menegur satu sama lain jika ada kesalahan. Lan menghina dan memarahi aku. Aku tahu dia melakukan sedemikian untuk membuat aku benci padanya. Aku tetap berdegil sehingga Lan meninggalkanku lalu kembali ke tempat kawan-kawannya. Aku tidak puas dengan kata-kata Lan lalu aku mengikutinya ke tempat kawan-kawannya sedang bersuka ria. Aku melabuhkan punggungku di atas kerusi yang disediakan. Aku melihat gerak-geri Lan yang sungguh luar biasa.

Suasana di situ bertukar menjadi sunyi sepi dan ngeri dengan kehadiran budak-budak liar itu. Aku tahu aku telah membuat ibu bapa aku risau kerana aku masih belum pulang walaupun sekolah telah selesai enam jam yang lalu. Lan merenung mataku sambil membuat reaksi yang menyuruhku pulang sekarang juga. Aku tidak mengambil peduli dengan desakannya itu. Selepas 30 minit, mereka mula beredar dari situ. Lan menyuruhku mengikutinya. Aku lega kerana dia masih menganggap menaku ini wujud.

“Kalau kau hendak tahu sangat, ibu bapa aku akan bercerai! Kalau aku cerita pada kau, kau tidak akan faham perasaan aku. Aku mengikut budak-budak yang kau anggap liar itu kerana mereka seperti adik beradik aku sendiri. Mereka menghidupkan aku semula! Mereka sahaja yang faham dan boleh memulihkan luka aku!”

Air mata Roslan jatuh setitik demi setitik di tangannya. Aku pun turut bersedih. Tidak aku duga sepasang suami isteri yang selalu menyintai antara satu sama lain akan tergamak mengambil keputusan sebegini.

“Assalamualaikum. Apa yang kau sedang termenungkan itu? Kau tidak balik lagi? “ aku menegur Roslan.

“Waalaikumsalam. Eh, Rina. Tidaklah, aku tunggu kau. Aku cuma memikirkan sesuatu. Tidak apalah. Aku seperti tidak mahu pulang rumah sahaja.”

Roslan menjawab pertanyaanku dengan air mm ata yang berlinangan. Aku pasti Lan baharu sahaja menangis. Aku memujuknya supaya pulang kerana takut kalau neneknya yang tinggal bersama akan menjadi cemas.

Ibu bapa Lan pun telah bercerai. Hampir setiap hari, Lan akan pulang lewat jika tidak pulang denganku. Lan masih bergaul dengan budak-budak liar itu. Lelah aku menasihatinya. Hati Lan sungguh keras untuk menerima hakikat bahawa ibu bapanya telah bercerai. Lan sekarang tinggal bersama neneknya kerana ibunya sudah berkahwin lagi dan mempunyai anak tiri. Ini cuma menyakitkan hati Lan lagi.

Bapanya yang dianggap penyayang telah diberkas polis gara-gara menghisap dadah. Terlalu banyak tragedi yang berlaku terhadap Lan dalam satu masa. Aku cuma boleh berdoa agar Lan cepat menyedari kesilapannya sekarang dan akan kembali ke jalan yang benar. Aku akan tetap berada di sisi Lan supaya aku boleh mengikut gerak-geri Lan daripada melakukan perkara yang bodoh.


030. Nurdayana: GCE O 1999

“Ibu! Sakit jari orang.. Cepat bu, sakit!"

Tiba-tiba, kedengaran suara anak kecil berumur lapan tahun yang berteriak meminta bantuan dan jeritan si cilik telah memecah suasana sunyi sepi pagi itu. Air mata saya mengalir di pipi bak air sungai mengalir dengan derasnya. Ketakutan dan kepedihan dapat saya rasakan. Ibu dan kakak saya sedang mencuba sedaya upaya untuk melepaskan jari tengah dan manis saya yang tersepit di celah pintu gerabak yang menuju ke tandas itu. Walau bagaimanapun, tiada usaha mereka yang berhasil. Jari jemari saya tetap tersepit.

Pada waktu itu, saya masih belum matang untuk mengetahui apa yang terdapat di papan tanda yang terlekat di sebelah atas pintu gerabak kereta api itu.

“Sila picit butang yang berwarna hijau supaya pintu itu akan terbuka. Butang merah akan menyebabkan pintu ditutup. Pintu itu tidak akan terbuka atau tertutup semula jikalau anda berdiri di atas alas kaki yang di bawah ini.”

Saya tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh papan tanda itu. Saya cuma pasti bahawa jikalau saya hendak ke tandas, saya perlu menekan butang berwarna hijau. Saya pun melakukan sedemikian. Tanpa saya sedari, saya telah meletakkan tangan saya sehingga menyebabkan jari tengah dan manis saya tersepit. Saya pun mula cemas lalu meminta bantuan.

Ibu dan kakak saya bergegas ke arah saya lalu melakukan apa yang patut. Kami sedang berada di kereta api menuju Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis persandingan sepupu saya.
Pak cik saya yang kelihatan baharu bangun daripada tidur berjalan ke arah saya. Pak cik mendongak ke atas sambil membaca apa yang tentera pada papan tanda itu. Dia tersenyum lalu menyuruh saya ke tepi sedikit. Rupa-rupanya, ibu dan kakak saya serta saya sendiri tidak sedar bahawa saya telah berdiri di atas alas kaki hijau itu. Ini menyebabkan, pintu itu tidak akan tutup walaupun kami telah menekan butang merah.

Ibu dan kakak bersama pak cik saya mentertawakan saya. Adakah patut saya yang sedang dalam kesakitan, ditertawakan sahaja? Mereka tidak simpati dengan sayakah? Jari tengah saya terluka sedikit tetapi jari manis saya mengalami luka yang agak serius kerana saya telah menyarungkan cincin pada jari itu. Cincin saya telah berubah bentuk, daripada bulat kepada bentuk yang aneh. Cincin saya sudah pasti tidak boleh digunakan lagi!

Kejadian ini telah mengubah hidup saya. Ia memberi pengajaran kepada saya supaya berhati-hati bila berada di dalam keretapi atau lif. Jangan sesekali meletakkan tangan saya di pintu-pintu yang bergerak. Saya tidak tahu mengapa saya dalam fobia untuk menaiki keretapi walaupun saya sudah meningkat remaja sekarang. Kejadian itu seperti berulang kembali dalam minda saya setiap kali saya menjejaki lif ataupun kereta api. Hanya Allah sahaja yang ketahui perasaan saya di saat-saat yang genting dahulu.

“Untuk keselamatan anda, sila berdiri di belakang garisan kuning”.

Inilah kata-kata yang selalu kita dengar apabila menunggu untuk menaiki kereta api ataupun pengangkutan MRT. Untuk keselamatan saya, saya selalu mencari tempat di tengah-tengah untuk berdiri ataupun duduk.

Apabila berada di dalam lif pula, tangan saya akan sentiasa berada di belakang supaya tidak akan terlalai meletakkan tangan di pintu lif. Saya akan memarahi anak kecil yang dikenali jika mereka dengan sengaja atau tidak meletakkan tangan mereka di pintu lif. Kadangkala, abang atau kakak saya akan menyakat saya dengan meletak tangan mereka di pintu lif lalu membiarkan tangan mereka mengikut pintu yang terbuka itu. Saya akan menjerit ke arah mereka untuk berhati-hati tetapi mereka hanya mentertawakan saya. Mereka mengetahui bahawa saya terlalu fobia dengan pintu yang bergerak.

Walaupun saya kecewa dengan tindakan adik beradik saya, saya mengambil tindakan itu sebagai cabaran supaya saya dapat mengatasi fobia saya. Jari jemari yang tersepit semasa saya kecil telah mengubah hidup saya.


029. Iffa Iryani: GCE N 2001

Jam tangan saya menunjukkan pukul 11.30 malam. Hampir sejam lamanya saya menunggu teksi. Akhirnya, saya mengambil keputusan menaiki kereta api MRT sahaja. Saya terus bergegas menuju ke sebuah stesen MRT yang berhampiran. Setibanya di situ, alangkah terperanjatnya saya apabila ternampak suatu perkara yang sangat memalukan. Saya ternampak ibu bercumbu-cumbuan bersama seorang lelaki berbangsa Cina. Perasaan geram dan malu menguasi diri saya. Saya terus berlari jauh dari tempat itu.

Saya geram kerana masih teringat bahawa setelah ibu berpisah dengan ayah, dia sudah berjanji untuk tidak mencari pengganti bagi ayah. Setelah perpisahan itu, ibu sudah serik dan mahu meneruskan hidup bersendirian. Perkara yang membuat kemarahan saya meluap-meluap ialah apabila melihat ibu dan lelaki berbangsa Cina yang belum bernikah lagi, telah bercumbu-cumbuan di depan khalayak ramai. Ibu tidak menepati janjinya!

Saya meneruskan perjalanan pulang dengan berjalan kaki. Hati saya masih membara. Saya tidak menyangka bahawa ibu tergamak membuat suatu perbuatan yang terkeji. Air mata mula mengalir dan membasahi pipi saya. Kemarahan saya bercampur.dengan kesedihan yang amat sangat.

Setibanya saya di rumah, ibu tercegat di pintu dengan wajah yang penuh kebimbangan.

“Fiza, pergi ke mana tadi? Ibu amat bimbang sekali.” tanya ibu dengan nada yang sedih.

Saya pun meninggikan suara, “Fiza tidak sangka ibu boleh melakukan perkara yang keji itu! Fiza amat malu ibu!”

Ibu menerangkan segala-galanya. Akhirnya, perasaan marah saya mula reda. Saya memahami keadaan ibu sekarang setelah mendengar penjelasannya. Ibu hanya mahu bercinta semula kerana dia rasa kesunyian.

Saya memahami dan menerima yang ibu hanya hendak seorang teman dalam hidupnya. Bermula dari hari itu, saya berkenal-kenalan dengan lelaki itu dan mendapat tahu bahawa dia seorang yang baik hati dan hanya mahu yang terbaik untuk ibu saya.


028. Iffa Iryani: GCE O 1999

Satu peristiwa yang menyebabkan saya berasa tertekan ialah semasa se saya menghadiri perkhemahan ketua sukan (Sports Leader) di sekolah pada cuti sekolah November lalu. Saya bersama rakan-rakan saya terpaksa berkorban masa untuk mengaturkan acara memperkhemahan itu. Kami mengambil masa dua minggu untuk merancang dan mengatur program perkhemahan sekolah itu. me Saya dan seorang lagi teman, Siti diberi tugas sebagai perancang permainan bagi perkhemahan itu.

Masalah utama yang perlu kami hadapi semasa merancang acara permainan ialah proses memikirkan permainan yang akan dimain oleh seluruh anggota ‘Sports Leader’ yang akan menghadir perkhemahan itu. Kami mengambil masa dua minggu lagi untuk menyiapkan usulan kami dan mencuba permainan yang dicadangkan. Saya berasa amat tertekan apabila guru tidak menerima usulan kami kerana mendapati bahawa terdapat permainan yang tidak sesuai dimain kerana terlalu merbahaya. Kami terpaksa berbincang semula dan menimbangkan teguran yang dibuat oleh guru supaya permainan yang dirancangkan itu sesuai untuk peserta perkhemahan kami.

Saya terpaksa tidur pada lewat malam untuk menaipkan usulan kami yang baharu itu. Perkara ini menjejas diri saya kerana saya tidak mendapat tidur yang menme cukupi dan kerja sekolah terpaksa saya ketepikan buat sementara waktu. Keadaan itu diburukkan lagi kerana beberapa hari sebelum saya mula menghadiri perkhemahan ini, saya baru sahaja menyelesaikan satu lagi perkhemahan yang mengambil masa selama lima hari empat malam. Oleh itu, saya menjadi sungguh letih pada waktu itu.

Saya cuba mengatasi tekanan-tekanan yang dihadapi dengan mengaturkan jadual seharian saya dan menetapkan masa tidur supaya saya dapat rehat secukupnya. Saya juga mencuba semampu mungkin untuk menyelesaikan kerja sekolah saya dan meminta bantuan kawan untuk membimbing saya apabila menghadapi kesukaran.

Akhirnya, segala penat lelah saya berbaloi apabila permainan-permainan yang kami aturkan berjalan dengan lancar dan ditambah lagi dengan pujian daripada guru dan teman-teman lain.


027. Irma Sakinah Anwar: GCE N 2002

Cikgu Salha pernah memberitahu aku dan kawan-kawanku, “Kamu semua harus bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dalam hidup.” Pada masa itu, aku tidak percaya akan kata-katanya. Walau bagaimanapun, suatu peristiwa telah mengubah fikiranku.

Aku memang seorang yang bijak dan cekap dalam pelajaran. Aku selalu mendapat markah tinggi untuk peperiksaan. Aku ingin sekali menjadi seorang doktor dewasa kelak. Itu sudah menjadi impianku sejak kecil lagi. Namun begitu, aku tidak bersungguh-sungguh mencapai matlamat aku itu. Aku fikir aku sudah cukup pintar dan tidak perlu bekerja keras lagi.

Aku masih ingat lagi sewaktu aku dalam menengah empat. Peperiksaan GCE peringkat O hampir tiba. Pelajar semua sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. Aku pula asyik berseronok sahaja. Aku selalu keluar malam. Aku mula bergaul dengan remaja yang tidak bermoral. Aku tidaklah serajin mengulangkaji pelajaran seperti dahulu. Walaupun begitu, aku masih lulus dalam kelas ujian dan dapat memahami apa yang diajar guru. Jadi, tidak hairanlah kalau aku masih dapat lulus dalam peperiksaan besar tanpa belajar bersungguh-sungguh.

Pada suatu hari, aku dipanggil Cikgu Salha ke bilik guru. Aku hairan akan apa yang hendak dikatakannya kerana aku fikir prestasi pelajaran aku masih baik dan tiada guru yang tahu akan perubahan dalam diri aku. Tetapi aku salah.

“Razali, awak tahu tak mengapa awak dipanggil? Saya telah memerhatikan awak sejak kebelakangan ini. Saya mendapati mutu kerja awak sudah menurun. Awak tidak lagi bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan tugas yang diberi. Kenapa dengan awak? Adakah Razali sedang menghadapi masalah? Kalau begitu, jangan biarkan masalah awak itu mengganggu pelajaran. Saya berharap awak dapat berusaha dengan lebih gigih lagi. Saya tidak mahu awak gagal nanti."

Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. Pada waktu itu, aku tidak mempedulikan kata-kata Cikgu Salha. Sedikit kesedaran pun tidak ada dalam diriku. Aku terus terjerumus dalam kegiatan yang tidak sihat seperti menghisap rokok dan meminum minuman keras. Rasa malas sudah seperti menguasai tubuhku. Aku tidak lagi peduli untuk mengulangkaji pelajaran, apatah lagi peperiksaan peringkat O sudah hampir tiba waktu itu. Aku yakin aku akan membuatnya dengan cemerlang dan mencapai impianku selama ini.

Akhirnya, hari yang digeruni ramai pelajar pun tiba. Semalaman aku tidak tidur kerana cuba memasukkan segala apa yang dipelajari sepanjang setahun dalam satu malam sahaja. Pada hari itu, aku tidak sangka aku sebenarnya akan terkial-kial semasa membuat kertas ujian. Tiba-tiba, soalan yang biasa aku buat menjadi sukar. Aku berasa ngantuk dan penat. Aku menjadi bingung dan fikiranku buntu. Di saat itu, aku mulai menyesal kerana tidak bekerja keras untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan arah tujuan hidupku nanti.

Setelah selesai segala kertas ujian yang dihadapi, aku hanya dapat berdoa dan berharap aku dapat lulus cemerlang supaya dapat melangkah setapak lagi ke hadapan untuk mencapai impianku menjadi seorang doktor. Setiap hari, hatiku tidak tenteram memikirkan keputusan yang bakalku terima nanti. Kini kusedari betapa bermaknanya kata-kata Cikgu Salha suatu ketika dahulu. Aku betul-betul menyesal dengan perbuatan aku itu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Akhirnya, hari yang kutunggu-tunggu muncul jua. Aku pergi sekolah dengan perasaan resah dan gelisah. Aku tidak mahu menghampakan harapan ibu bapaku. Semasa guru memanggil namaku untuk mengambil keputusan, seluruh tubuhku menggigil ketakutan. Dengan jantung yang berdegap-degup, aku mencapai sekeping kertas daripada guru.

Dengan perlahan, aku memberanikan diri melihat keputusanku. Alangkah terperanjatnya aku bila mengetahui hakikat sebenar. Aku berasa sungguh kecewa. Dengan keputusan yang tidak seberapa itu, aku tidak boleh kemana-mana. Impianku hancur berkecai. Lenyaplah segala cita-cita ku untuk menjadi seorang doktor. Kini, aku percaya akan kata-kata Cikgu Salha yang kita harus bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dalam hidup.


026. Irma Sakinah Anwar: GCE O 2000

Nadia memegang parut di kepalanya. Parut yang sudah hadir sejak dua puluh tahun yang lalu. Parut yang telah membawa banyak kenangan pahit dalam hidupnya yang sehingga kini tidak pernah luput daripada ingatan.

Sejak dia kecil, Nadia tidak pernah menikmati cebis-cebis hidup yang bahagia dan menggembirakan. Malah, hidupnya sengsara. Dia selalu diseksa dan dipukul bapanya yang kaki judi dan kaki botol itu. Yang lebih teruk lagi, Nadia terpaksa tidur di kandang kecil dan sempit di bawah rumah kampungnya. Tempat yang kotor dan gelap itulah menjadi tempat dia tidur tanpa tilam, bantal ataupun selimut.

Setiap hari pula, dia harus melakukan semua kerja rumah. Kalau ada masakan yang tidak disukai atau rumah yang tidak cukup bersih, bapanya akan selalu memukulnya. Kadangkala, rasa sakit akibat pukulan itu boleh berlarutan sehingga beberapa hari. Tiba sahaja waktu malam, Nadia dipaksa menjadi alat melepaskan nafsu lelaki. Bapanya akan membawa lelaki datang tidur dengannya dan akan mendapat upah selepas itu. Begitulah hidupnya seharian. Walaupun pahit ditelan, dia terpaksa menerima hakikatnya dalam usia yang semuda empat belas tahun.

Namun begitu, nasib seakan mula menyebelahinya. Pada suatu hari, seorang janda yang berusia lewat 30an telah berpindah ke sebuah rumah bersebelahan Nadia. Cik Ani namanya dan dia tinggal sendirian. Nadia tidak pernah berani bergaul dengan orang luar kerana Nadia tahu bahawa bapanya pasti akan menyeksa dirinya jika dia mengetahui bahawa Nadia telah berbual dengan orang lain.

Setiap kali bertembung dengan Cik Ani, dia akan melarikan diri daripadanya. Wajah kehairanan sering jelas kelihatan pada air muka Cik Ani. Walaupun begitu, Nadia selalu berdoa di dalam hatinya mengharapkan Cik Ani menyelamatkannya daripada derita hidupnya selama ini.

Akhirnya, doanya termakbul juga. Pada suatu petang, bapanya telah memukulnya lagi atas kesilapan yang kecil.

“Anak tak guna! Kenapa kau bodoh sangat? Takkan gosok baju pun tak tahu? Tengok ini! Sampai baju aku pun terbakar! Hmph! Ambil kau!” pekiknya sambil memukul Nadia dengan sebatang kayu yang telah dicapainya dari bawah perdu sebatang pokok di luar.

Nadia hanya mampu meraung kesakitan dan merayu meminta maaf. Bapanya terus memukulnya dan mengheretnya dari satu sudut rumah ke sudut yang satu lagi. Pada waktu itu, Nadia rasa seperti ingin mati. Dia tidak sanggup menahan derita ini lagi.

“Hey! Awak sudah gila kah? Jangan pukul dia lagi! Lepaskan dia! Memang tidak berhati perut betul!” suara yang diharapkan itu kedengaran.

Cik Ani cuba melepaskan Nadia daripada genggaman bapanya. Dia menariknya keluar dan lari membawa Nadia ke rumahnya. Pada masa yang sama, bapanya mengejar mereka dari belakang. Cik Ani dengan pantas menutup daun pintu rumahnya. Lelaki tua itu terus mengetuk pintu kuat dengan batang kayu tadi. Pintunya seperti hendak roboh diketuknya. Orang kampung pun sudah mula berkerumun di depan rumah janda itu melihatkan apa yang terjadi. Setelah hampir sejam kemudian, bapa Nadia akhirnya mengalah dan pulang ke rumahnya.

Pada malam itu, Nadia diubati. Di saat yang terdesak itu, dia telah meluahkan segala kisah hidupnya yang sengsara selama itu. Dia bersyukur kerana dia akhirnya dapat menemui insan baik yang dapat menyelamatkannya. Namun begitu, perasaan takut terhdap bapanya masih tetap ada. Dia mengambil keputusan untuk pulang semula ke rumahnya. Cik Ani cuba menghalangnya tetapi dia tetap berdegil.

“Walau apapun, dia tetap bapa saya. Saya sudah tiada siapa lagi di dunia ini selain bapa saya. Dia memerlukan saya. Dia tidak tahu menjaga dirinya sendiri. Bagaimana dengan makan minumnya nanti? Ini sudah menjadi tanggungjawab saya, Cik Ani. Suka atau tidak, saya terpaksa melakukannya demi masa hadapan saya.” Nadia cuba menjelaskan.

Kembalilah semua seksa hidupnya. Nadia tidak tahu kalau apa yang dilakukan selama ini kerja bodoh tetapi yang pasti, dia tahu hidupnya sudah ditakdirkan begitu. Dia tiada pilihan lain. Cik Ani pernah berkali-kali menghulurkan bantuan termasuk menyelamatkannya daripada genggaman bapanya yang kejam itu. Tetapi, Nadia menolaknya. Dia hanya mampu pasrah sahaja.

Namun begitu, satu peristiwa telah akhirnya menyelamatkan Nadia daripada terus terseksa di tangan bapanya yang tidak berperikemanusian itu. Pada malam yang dingin itu, Nadia yang baru sahaja selesai tugas malamnya sedang menyiapkan tempat tidurnya di kandang itu. Tanpa disedarinya, dapurnya kebakaran. Kebetulan pula, Cik Ani yang baru pulang dari kelas agama terlihat akan kebakaran itu.

Dalam sekelip mata, api telah menjilat setengah daripada rumah Nadia. Bapanya telah cuba memadamkan api kebakaran itu. Nadia yang tidak tahu apa-apa itu tiba-tiba dikejutkan Cik Ani dan ditarik keluar kandang itu. Api itu semakin membesar. Orang kampung pula membantu dalam memadamkan api yang semakin merebak itu. Pada waktu itu, Nadia hanya mampu melihat tempat dia berteduh musnah dalam kebakaran. Walau bagaimanapun, bapanya tidak sempat diselamatkan. Dia telah meninggal dalam kebakaran rumahnya itu.

Setelah kejadian malang itu, Nadia telah dihantar ke rumah tumpangan untuk remaja bermasalah. Cik Ani banyak memberinya semangat dan dorongan untuk hidup kembali. Di rumah itu, dia telah diberi didikan akademik dan agama. Dia juga perlu menjalani kaunseling. Hidupnya seperti diberi nafas baru. Namun begitu, Cik Ani tiba- tiba menghilang. Nadia tidak dapat menghubunginya lagi. Janda itu juga tidak mengunjunginya lagi di rumah itu.

Kini, dua puluh tahun telah berlalu. Nadia masih tetap menunggu kehadiran Cik Ani dalam hidupnya. Sudah puas dia cuba mencarinya tetapi gagal. Dia masih hairan mengapa Cik Ani telah menghilangkan dirinya tanpa sebarang berita.

Nadia terkejut dari lamunannya apabila terdengar pekikan anak kecil. Sedang dia hendak berganjak dari tempat duduknya itu, dia terpandang seorang wanita tua yang sedang berjalan menuju anak kecil itu. Wajahnya mirip orang yang dicarinya selama ini. Rasa lega dan gembira mula menyelubungi sanubarinya. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia memeluk wanita tua yang berdiri di hadapannya itu. Inilah orang yang dicari-carinya selama ini. Sudah terbayang olehnya bagaimana untuk membalas budi wanita tersebut.


025. Md Shazni: GCE O 2002

Sebuah filem yang saya tidak boleh lupakan ialah filem 'Skeleton Key'. Saya tidak boleh melupakannya kerana saya menonton filem itu bersama rakan-rakan yang saya kenali semasa mengikuti Ekspedisi Berkayak Tahunan (Annual Kayaking Expedition). Saya juga tidak boleh melupakan filem ini kerana jalan ceritanya menarik perhatian ramai dan pasti tidak membuat sesiapa terlena ketika filem itu ditayangkan. Mereka juga pasti tidak dapat tidur kerana kesan bunyi filem itu amat kuat dan mencemaskan.

Ketika menonton filem yang menarik dan mencemaskan itu, hati saya berdebar-debar untuk meneka apa yang akan berlaku sehinggakan air minuman yang saya bawa masuk ke dalam wayang itu habis disedut tanpa saya sedari. Jalan cerita filem itu juga mendebarkan sehingga rakan wanita saya terpekik dan orang yang duduk di sekeliling kami memarahinya.

Ceritanya mengenai dua roh yang dahulu pernah tinggal di sebuah rumah dan bekerja sebagai pembantu-pembantu rumah berkenaan. Salah seorang daripadanya adalah seorang lelaki yang bernama Jhon dan seorang wanita yang bernama Violet. Mereka ada kepercayaan yang kuat kepada 'Voodoo' iaitu sejenis ilmu hitam yang berasal dari benua Afrika.

Suatu malam, tuan rumah itu mendapat tahu tentang ilmu mereka apabila tuan rumah itu ternampak mereka melakukan suatu upacara mistik dalam bilik mereka dan mereka terus digantung dan dibakar hingga mereka terkorban di atas pokok. Tanpa tuan rumah itu sedari, roh-roh mereka masih menghantui rumah itu. Semenjak hari itu, rumah itu berhantu dan roh-roh tersebut akan berganti tubuh dengan sesiapa yang muda dan cantik untuk kekal selamanya.

Suatu hari, seorang wanita bernama Judy mencari kerja sebagai pembantu rumah dan menjaga warga-warga tua setelah berhenti kerja sebagai jururawat. Tanpa Judy sedari, dia telah dipilih sebagai pembantu rumah itu kerana kecantikannya dan rakan yang membantunya mendapatkan kerja itu sebenarnya roh Jhon yang telah merasuk seorang lelaki yang muda dan menggantikan tubuhnya dengan roh orang muda itu. Kini, Judy pula menjadi sasaran roh-roh jahat itu.

Bahagian akhir cerita ini juga membuat saya sukar melupakan filem ini kerana ianya berakhir dengan tragedi. Inilah kali pertama saya tontoni sebuah filem yang berakhir secara begitu. Oleh itu, secara keseluruhan saya amat berpuas hati menonton filem ’Skeleton Key’.


2006/03/03

024. Md Shazni: GCE O 2001

Pada mulanya, saya berasa penuh dengan semangat untuk melanjutkan pelajaran di luar negeri kerana saya tidak pernah ada pengalaman di luar negeri bersendirian tanpa ibu bapa saya dan saya tidak sabar untuk membuat kawan dari negeri itu. Selain itu, saya juga bersemangat tinggi untuk belajar rajin-rajin dan membuat ibu bapa saya bangga atas kejayaan saya apabila saya pulang nanti kerana saya tahu bahawa ibu bapa saya telah mengeluarkan wang yang besar daripada wang simpanan mereka untuk menghantarkan saya ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran saya. Sebab itulah saya tidak sampai hati untuk mengecewakan mereka.

Saya ghairah untuk menjejak tanah dan melihat suasana yang hanya terdapat di negeri lain kerana saya tidak pernah melancong ke negeri yang jauh dari Singapura. Saya pun tidak sabar untuk merasa makanan-makanan yang lazat tetapi halal yang boleh didapati di sana. Keghairahan untuk belajar di luar negara ketara kerana sejak dari awal lagi saya sudah siap mengemaskan beg-beg saya.

Selain daripada perasaan itu, saya juga berasa sedih kerana saya perlu meninggalkan ibu bapa saya, keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan saya untuk pergi ke negara lain untuk melanjutkan pelajaran. Saya pun pasti akan merindui ibu bapa saya kerana barangkali ada masanya, saya tidak dapat mengambil cuti untuk meraikan Hari Raya bersama keluarga di Singapura. Namun begitu, saya sudah memikirkan cara untuk mengatasi perasaan itu iaitu dengan menelefon keluarga saya di Singapura sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

Saya juga takut jika kapal terbang yang saya naiki untuk ke sana mengalami kemalangan semasa di udara. Kebimbangan ini ditambah apabila saya membaca petikan akhbar mengenai pengganasan yang berlaku di sini sana. Semenjak peristiwa yang berlaku di Amerika pada 11 September, saya seperti mempunyai fobia untuk menaiki kapalterbang ke negara lain.

Walau bagaimanapun, saya menolak kebimbangan ini kerana terlalu gembira mendapat peluang untuk tinggal dan belajar di negara lain demi masa depan yang cerah. Selain itu, saya akan berpeluang untuk mendapat pengalaman tinggal dan hidup bersendirian di negara yang jauh dari tanah air sambil belajar kehidupan masyarakat yang berbeza dari yang di Singapura.


2006/03/01

023. Rosdahliana Dahlan: GCE O 2000

Rita meraba-raba perutnya yang buncit itu. Dia berasa tidak sabar ingin melahirkan anak yang berada di dalam kandungan itu. Maklumlah, anak itu anak sulungnya. Dia dapat membayangkan berapa seronoknya menjadi seorang ibu. Dia berasa simpati melihat pasangan-pasangan yang tidak mempunyai seorang anak walaupun sudah lama berkahwin.

Rita sedang membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah seorang diri. Suaminya tidak dapat ikut sama kerana ada urusan kerja. Dia masuk ke dalam sebuah kedai yang menjual barang-barang keperluan bayi seperti botol susu. Dia ingin mencari permainan untuk anak yang bakal lahir itu. Setelah mendapatkan barang yang diinginnya, dia ke kaunter untuk membayar lalu keluar dari kedai tersebut.

Sudah tiga jam dia berada di pusat membeli-belah itu, Rita terasa letih lalu membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, beg tangan Rita dirampas oleh seorang pemuda. Dia cuba berlari mengejar pemuda itu sambil berteriak. Terasa amat payah hendak berlari akibat perutnya yang berat itu. Tiada orang yang membantunya kerana tempat itu sunyi. Kepala Rita terasa amat sakit sekali. Kakinya lenguh dan dia terpaksa berhenti mengejar pemuda itu. Tiba-tiba Rita rebah ke tanah dan tidak menyedarkan dirinya.

Rita sudah mula sedar. Dia mendapati dirinya berada di hospital. Dia terkejut melihat seorang wanita tua yang tidak dikenalinya sedang berdiri di sebelahnya sambil tersenyum. Dia meraba-raba perutnya. Dia semakin terkejut. Perutnya yang buncit itu sudah kempis.

"Mak cik siapa? Mana anak saya?" Rita menangis. Dia takut sekali kehilangan anaknya itu.

"Sabarlah. Mak cik terjumpa awak terbaring di atas tanah. Mak cik segera menelefon ambulans. Anak awak telah selamat dilahirkan. Sebentar lagi suami dan orang tua awak akan tiba. Awak berehat dulu. Mak cik nak keluar sebentar," wanita itu berkata sambil mengusap air mata serta rambut Rita. Sebentar kemudian, dia keluar dari wad itu dan tidak muncul lagi.

Anak sulung Rita sudah berumur tiga tahun. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, Rita masih tidak dapat melupakannya. Dia masih tercari-cari wanita tua yang telah menolongnya itu. Wanita tua itu bukan sahaja telah menyelamatkan Rita tetapi juga nyawa anak sulungnya.
Rita berada di rumah ibunya. Dia sedang menolong ibunya di dapur. Tiba-tiba, pintu rumahnya diketuk. Ibu Rita menyambut tetamu itu dengan mesra. Ibu memperkenalkan tetamu itu kepada Rita. Dia ialah saudara ibu Rita yang tinggal di Indonesia. Mereka jarang sekali bertemu. Wanita tua itu harus menjalani pembedahan tetapi tidak mampu membayar kos rawatan di hospital . Dia meminta tolong ibu Rita.

Rita berasa hairan. Dia seperti pernah berjumpa dengan wanita tua itu. Tiba-tiba, Rita mulai teringat. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia memeluk wanita tua yang berdiri di hadapannya itu. Inilah orang yang dicari-carinya selama ini. Sudah terbayang olehnya bagaimana untuk membalas budi wanita tersebut.


022. Rosdahliana Dahlan: GCE N 2003

Saya tidak suka akan orang yang bercakap bohong. Saya sendiri tidak pernah berbohong tetapi pada hari Sabtu yang lalu, saya telah berbohong kepada ibu.

Saya bercadang hendak pergi menonton konsert Hanyut di East Cost Park yang diadakan pada hari itu bersama kawan-kawan dan teman lelaki saya. Saya ingin sekali bertemu dengan idola saya, Syed Azmir, tetapi ibu melarang. Semenjak mendapat tahu bahawa saya bergaul dengan budak-budak nakal, kawalan ibu terhadap saya semakin ketat. Saya tidak boleh keluar rumah sesuka hati lagi. Telefon bimbit saya dirampas dan disimpannya. Ibu juga sering menjempat saya pulang dari sekolah supaya saya tidak berpeluang untuk melepak bersama kawan-kawan saya. Saya amat rimas dan tertekan sekali.

Walaupun saya nakal, saya tidak pernah biadab dan berbohong kepada ibu. Saya cuma merahsiakan kegiatan seharian saya kerana takut dimarahi ibu. Saya pernah terfikir untuk melarikan diri tetapi membatalkan niat saya kerana tidak mahu menyusahkan ibu.

Saya mendapat satu idea bagaimana untuk menonton konsert Hanyut setelah memikirkan tentang Farah, bekas sahabat karib saya. Farah pernah menjadi sahabat karib saya tetapi saya telah memutuskan persahabatan saya dengannya beberapa bulan yang lalu. Saya tidak tahan dengan sikapnya. Saya tahu Farah tidak senang melihat saya bergaul dengan budak-budak nakal itu. Ada sahaja silap saya pada pandangannya. Saya juga menganggapnya sebagai orang yang tidak boleh dipercayai setelah dia memberitahu ibu tentang pergaulan saya . Apabila terkenangkan tentang Farah, saya teringat satu ungkapan yang saya rasa amat sesuai tentang dirinya iaitu harapkan pagar, pagar makan padi. Oleh kerana ibu betul-betul mempercayai Farah, saya menggunakan namanya untuk mencapai hasrat saya menonton konsert Hanyut. Saya memberitahu ibu bahawa saya ingin ke rumah Farah untuk menolongnya menjaga adik-adiknya sementara orang tuanya ke luar negeri.

"Kamu berduakan sudah tidak berkawan lagi. Buat apa kamu sibuk-sibuk?" ibu hairan lalu bertanya.

"Alah ibu ini. Kita kan harus bermaaf-maafan anatara satu sama lain. Berdosa kalau kita berdendam dan tidak mahu berbaik-baik dengan orang. Manusia tidak pernah lari dari kesilapan," saya berkata dengan menunjuk-nunjukkan perasaan bersalah.

Ibu tersenyum lebar dan mengizinkan saya pergi. Saya amat berbesar hati, kerana impian saya untuk bertemu dengan idola saya akan tercapai. Saya dan rakan-rakan lain telah berjanji untuk berjumpa di stesen MRT Eunos.

Sedang saya asyik menonton konsert Hanyut, saya tidak
menyedari bahawa teman lelaki saya telah melenyapkan diri bersama teman-temannya buat sementara waktu. Tiba-tiba, tangan saya ditarik oleh teman lelaki saya dan saya dibawanya ke tempat yang sunyi. Saya bertanya kepadanya mengapa dia berbuat demikian tetapi dia tidak menjawab. Tiba-tiba, kepala saya dihentak dengan sesuatu yang keras sehinggakan saya rebah ke tanah. Kepala saya pusing. Penglihatan saya menjadi pudar lalu saya pengsan.

Tubuh saya terasa amat sejuk. Saya membuka mata saya dan melihat di sekeliling. Saya tidak pasti di mana saya berada. Rupa-rupanya, saya telah diperkosa oleh teman lelaki saya dan teman-temannya yang lain. Dompet saya juga sudah lenyap. Saya memeluk kaki saya, menundukkan kepala lalu menangis.

Tiba-tiba, saya dikejutkan oleh sentuhan seseorang di bahu saya. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya siapa yang memberitahu ibu di mana saya berada pada hari itu. Kalau ibu tidak datang membawa saya pulang, saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan. Saya amat menyesal sekali. Inilah balasan kepada orang -orang yang tidak mendengar kata ibu. Akhirnya, saya sedar bahawa segala teguran yang dibuat oleh ibu saya selama ini sebenarnya hanya untuk kebaikan diri saya.

021. Nur Aqilah Ibrahim: GCE N 2000

Saya pun segera memutarkan kepala paip selepas mandi petang itu. Tetapi, kepala paip itu tiba-tiba jatuh ke lantai dan air melimpah dan lantai mula dinaiki air. Saya cuba memasang balik kepala paip itu tetapi sia-sia belaka. Saya panik. Saya betul-betul tidak tahu apa yang patut dilakukan. Tanpa membuang masa, saya pun keluar dari tandas dan mula mengumpulkan baldi-baldi yang terdapat di rumah lalu menadar air tersebut. Selepas menadah air itu, saya dengan segera memakai pakaian lalu kembali ke tandas itu.

Apabila saya tiba di tandas, air telah pun memenuhi baldi yang pertama. Saya menukar baldi yang penuh itu dengan yang kosong. Kesemuanya ada lima baldi besar dan tiga baldi yang bersaiz sederhana.

Kurang dari sejam, hampir kesemua baldi-baldi itu dipenuhi air. Tinggal satu baldi sahaja. Tiba-tiba, satu idea terlintas di fikiranku. Saya pun keluar dari tandas dan mengambil playar lalu mengetatkan kepala paip itu. Mujur air yang melimpah itu berhenti. Saya menarik nafas kelegaan. Saya berasa begitu penat sekali setelah beberapa kali mengalihkan baldi-baldi itu.

Malam itu, saya dimarahi ayah kerana cuai dan juga kerana paip itu baru sahaja dipasang beberapa minggu yang lalu semasa rumah kami diubah elok. Saya begitu menyesal sekali dengan perbuatan saya. Buat sementara waktu, saya dan adik-beradik saya yang lain harus mengisi baldi dengan air di mengkawan sebelum kami mandi. Ayah tidak membenarkan kami untuk mandi di bilik air yang berada di biliknya. Ibu tidak dapat berkata apa-apa. Saya tidak sangka yang ayah akan memarahi saya.

”Kenapa tidak boleh menggunakan tandas di bilik ayah?” tanya saya.

“Sebab ayah ingin kamu semua belajar supaya jangan cuai dan fikir sebelum melakukan sesuatu kerana kalau kita tidak berfikir, boleh jadi buruk keadaannya,” jawab ayah.

Setelah mendengar kata-kata ayah, saya sedar dan faham maksud ayah. Mulai hari itu, saya selalu berhati-hati dengan apa yang saya ingin lakukan.


020. Nur Aqilah Ibrahim: GCE O 1998

Sedang aku duduk menonton sebuah rancangan pada hari Jumaat kelmarin, ibu mendekati aku. Dia berkata,

“Ain, boleh ibu minta tolong?”

“Apa dia ibu?” aku bertanya.

“Sebenarnya, ibu dan ayah telah diundang ke sebuah majlis perkahwinan tetapi kami tidak dapat menghadiri majlis itu. Kami harus ke Malaysia untuk menziarah datuk saudara ayah yang sedang sakit tenat. Boleh tak Ain mewakili ibu dah ayah?” jawab ibuku.

“Oh begitu. Bila majlis itu akan diadakan?” tanya aku kembali.

“Pada hari Ahad ini. Ain bawa adik sekalilah supaya Ain ada teman,” kata ibu.

“Baiklah ibu,” jawabku.

Pada hari Ahad itu, aku dan adikku, Ani pergi ke majlis tersebut yang terletak di Bedok. Nasib kami baik kerana kami tidak tersesat jalan walaupun saya sendiri tidak berapa pasti tentang kedudukan tempat itu.

Setibanya kami di majlis tersebut, aku berasa amat tidak selesa sekali. Aku tidak pasti bagaimana perasaan Ani kerana aku tidak bertanya dengannya pada waktu itu. Aku berasa tidak selesa sebab tidak seorang tetamu pun yang aku kenali. Untuk menenangkan perasaanku, aku menghampiri seorang mak cik yang aku fikir merupakan ibu pengantin sebab ramai tetamu bersalam-salaman dengannya.

“Salam sejahtera mak cik. Boleh saya tumpang tanya? Adakah ini majlis perkahwinan Cik Sabrina?” tanyaku.

“Ya saya. Boleh saya bantu?” tanya mak cik itu kembali.

“Saya anak kepada Encik Rahim dan Cik Mariam. Saya Ain dan ini adik saya, Ani. Kami mewakili ibu dan ayah kerana mereka tidak dapat hadir. Mereka harus ke Malaysia untuk menziarahi datuk saudara ayah.”

“Oh! Anak Cik Mariam rupanya. Silalah. Jemput makan,” jawab mak cik itu.

Sedang kami menjamu selera, aku tetap berasa tidak selesa dan kurang berselera kerana aku betul-betul tidak kenal seorang tetamu pun di sana. Aku berperasaan seperti semua orang sedang asyik memerhatikan kami berdua sahaja. Aku berasa kurang senang sekali. Aku menyuruh Ani untuk cepat makan lalu kami pergi bersalam-salaman dengan ibu pengantin itu. Orangnya baik sekali. Dia memberi kami berkat dan menyuruh kami menyampaikan salam kepada ibu dan ayah kami. Selepas itu, kami pun beredar dari situ untuk pulang ke rumah.

Selepas pengalaman itu, apabila ibu atau ayah menyuruh aku mewakili mereka, aku selalu bertanya dahulu siapakah orang yang mengadakan majlis tersebut kerana aku tidak mahu perasaan tidak selesa itu berulang lagi.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?