2006/01/31

011. Md Hishamuddin Kamal: GCE O 2002

Kehadiran Amira pada saat aku betul-betul memerlukan bantuan tidak akan aku lupakan. Aku berasa malu dan menyesal kerana membencinya selama ini. Walaupun Amira ini sepupuku, aku pun tidak tahu kenapa aku amat membencinya sedangkan dengan begini aku akan menanggung dosa. Aku membenci Amira kerana dia mempunyai tabiat yang buruk dan sering menyusahkan kedua ibu bapanya.

Tepat pukul 12 tengahari, aku menerima panggilan daripada pihak hospital mengatakan bahawa ibuku sekarang berada di wad jagaan rapi setelah ditemui tidak sedarkan diri di flat rumahku. Aku terus bergegas dari ofisku dengan perasaan pilu. Semasa perjalananku ke hosital besar Changi jiwaku ini tidak tenteram memikirkan keadaan ibu yang aku sayangi. Ayahku sudah lama meninggal dunia dan aku hanya mempunyai ibu tempat untukku mengadu.

Apabila tiba di sana, aku ternampak Amira sedang duduk di kerusi dengan wajah yang kerisauan. Dia memakai pakaian yang kurang sopan dengan terdedah di sana dan sini. Aku yang baru sahaja tiba terus meluru ke tempat Amira lantas memarahinya dengan tidak tentu pasal kerana aku ini terlalu penat dan sudah memang membenci Amira. Aku tidak memberi peluang untuk Amira berkata-kata. Semua orang di hospital memerhatikan kami. Amira hanya menangis apabila aku mencacinya. Amira terus beredar dari tempat duduknya dan entah ke mana dia telah pergi. Aku berasa puas dapat bersemuka dengannya kali ini dan merasakan seperti aku dirasuk syaitan.

Ibuku masih tidak sedarkan diri. Aku terus berjumpa dengan doktor untuk menanyakan keadaan ibuku ini. Doktor telah mengesahkan bahawa ibuku ini ditimpa sakit darah tinggi dan jika tadi ibuku lambat dihantar ke sini mungkin nyawa ibuku tidak dapat diselamatkan. Aku tergamam apabila mendapat tahu bahawa Amira yang membawa ibuku ke hospital. Aku terus beristighfar atas tindak laku aku tadi. Aku terus pergi ke wad dan berada di samping ibuku dengan harapan ibuku akan sembuh. Beberapa hari kemudian ibuku sembuh dan aku sungguh terhutang budi dengan Amira dan aku ingin meminta maaf atas kesalahanku dan juga ingin mengucapkan terima kasih.

Aku mencari di merata-merata dengan harapan dapat bertemu dengan Amira. Ahkirnya aku menemuinya tetapi dia seperti tidak suka tetapi aku tidak menyalahinya kerana ini semua kesilapanku. Kini aku sedar, rupa tidak menjamin kebaikan seseorang tetapi hati yang suci.

(388 perkataan)

010. Md Hishamuddin Kamal: GCE O 1999

Keadaanku bagai tidak tentu arah. Aku menjadi resah kerana peperiksaan GCE O’ sudah hampir dan aku belum lagi mempersiapkan diriku ini. Selama ini aku asyik meluangkan masaku dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah kerana aku fikir bahawa semua ini tidak penting.

Kini peperiksaan GCE ‘O’ hanya lapan minggu lagi. Aku mula berasa tertekan dan dapat merasakan bahang ketakutanku sendiri. Hampir setiap hari di sekolah aku menjadi perhatian guru-guru kerana tidak menghantar kesemua kerja-kerja rumah yang telah diberi. Aku akan cuba mengelakkan diriku ini dari dikesan oleh guru dengan memonteng sekolah untuk merayap ke tempat-tempat untuk mendapatkan keseronokan. Ibu bapaku tidak tahu mengenai perkara ini kerana asyik sibuk bekerja dan aku seperti terbiar. Aku cuba mengingati kembali bagaimana aku boleh menjadi jahil sedangkan aku begitu rajin dan cerdik sewaktu di menengah tiga.

Setelah mengimbas kembali, aku seperti terjaga dari lamunan mimpi yang lama dan aku kini telah mula berazam untuk bekerja keras. Namun, aku hanya dapat memahami sedikit daripada topik pelajaranku. Aku bertekad ingin terus belajar dan yakin bahawa aku boleh lulus peperiksaan itu. Aku mula menjadi tekun di sekolah dan mendengar apa yang diajar oleh guru di kelas. Aku mengambil keputusan untuk merujuk kepada guru topik-topik yang aku kurang fahami dan mengulangkaji di sekolah hingga lewat petang sebelum bersambung semula di rumah.

Suatu hari semasa mengulangkaji pelajaran, aku mengalami tekanan yang amat kerana aku memaksa diri untuk terus belajar sehingga aku rebah. Setelah aku terjaga, aku berada di hospital dan mendapati ibu bapaku di sisiku. Doktor mengatakan bahawa aku ini tertekan dengan keadaan di sekeliling sehingga menyebabkan badanku begitu lemah lalu aku rebah. Aku dinasihati supaya menjaga diri kerana jika aku tertekan, ia boleh mengakibatkan penyakit-penyakit lain yang berkaitan.

Mulai dari hari itu, aku tetap belajar tetapi kali ini tidak hingga lewat malam. Aku harus menghadiri kaunseling supaya aku tidak mengulangi kesilapan dahulu. Aku hanya bermohon kepada Tuhan agar aku diberi gred yang baik untuk keputusan GCE ‘O’ nanti kerana aku telah berusaha seberapa yang boleh. Aku mula mengamalkan permakanan sihat dan lebih meluangkan masa dengan ibu bapaku walaupun masa kini semakin suntuk.

Kini aku hanya perlu menunggu keputusan peperiksaan dengan penuh kesabaran setelah mendudukinya.

(370 perkataan)

2006/01/22

009. Sharifah Maryam: GCE O 2001

Inilah kali pertama aku akan ke rantauan untuk melanjutkan pelajaranku. Amerika akan menjadi tempat kediaman sementaraku tidak lama lagi. Betapa gembiranya aku diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di sana kerana itulah cita-citaku semenjak aku masih di bangku sekolah lagi. Aku rasa bersyukur setelah cita-citaku dan kedua ibu bapaku akhirnya terkabul juga.

Walaupun aku berasa gembira, aku masih belum berpuas hati kerana aku masih di peringkat awal dan mempunyai banyak lagi tanggungjawab untuk dipikul. Dengan kejayaanku setakat ini, aku tetap berasa bangga terhadap diriku kerana telah membuat keluargaku gembira. Air mata yang mengalir bukan hanya menunjukkan kegembiraan tetapi juga kesedihan yang akan kuhadapi.

Betapa sedihnya aku kerana akan meninggalkan keluarga kesayanganku lalu ke Amerika bersendirian. Pelbagai persoalan bermain di fikiranku. Siapakah yang akan menjaga mereka ketika aku berada di Amerika? Bagaimana jika mereka jatuh sakit? Aku sangat risau akan keselamatan mereka nanti. Namun aku cekalkan hati lalu menyerahkan kepada takdir. Aku berdoa semoga mereka diberikan kesihatan. Aku akan rasa keseorangan apabila aku di sana kerana tiada teman untuk mengadu jika aku bersedih dan tiada teman untuk bergurau senda. Aku masih berfikir apa yang akan berlaku kepadaku di sana.

Aku juga mempunyai perasaan takut untuk tinggal di Amerika kerana tidak mengenali sesiapa di sana. Aku tidak tahu bagaimana keadaan di sana dan takut jika aku akan sesat lalu ditipu oleh orang yang tidak dikenali. Aku juga rasa seperti tidak selamat jika berada di sana.

Cuaca di Amerika tidak sama seperti cuaca di Singapura lalu boleh membuat aku jatuh sakit. Kebimbangan timbul jika aku jatuh sakit kerana aku tidak mempunyai sesiapa yang boleh menjagaku nanti. Jikalau aku sakit, ibu akan menjagaku di rumah sehingga aku sihat. Aku juga akan menjadi bingung kerana jika aku sakit nanti, aku tidak akan tahu ubat apa yang harus dibeli kerana ubat di sana mungkin berbeza dengan ubat di sini. Kerisauan timbul kerana aku mungkin tidak dapat menjaga diriku seperti ibu menjagaku.

Dengan kerisauan ini juga, ia telah menguatkan lagi semangatku untuk mengatasi segala rintangan dan masalah yang akan kulalui. Perasaan ghairah juga mula timbul. Aku tidak sabar lagi untuk ke Amerika kerana aku ingin mengetahui lebih lanjut tentang budaya dan cara hidup di sana supaya aku boleh berkongsi pengalamanku bersama keluargaku. Aku juga boleh mula menyesuaikan diriku di sana. Kini aku hanya boleh berdoa agar semua berada dalam keadaan yang selamat.


(383 perkataan)


008. Sharifah Maryam: GCE N 2000

Saya pun segera memutarkan kepala paip selepas mandi petang itu. Tetapi, kepala paip itu tiba-tiba jatuh ke lantai dan air melimpah dan lantai mula dinaiki air. Saya cuba memasang balik kepala paip itu tetapi sia-sia belaka. Dengan secepat mungkin, saya memakai baju yang tergantung kerana kesejukan. Saya hairan bagaimana lantai boleh dinaiki air sedangkan di lantai itu mempunyai lubang khas untuk air keluar supaya lantai tidak mudah dibanjiri air.

Dengan pantas sekali, saya mencari lubang air tersebut. Saya tidak terfikir langsung mengenai kepala paip yang tertanggal itu. Saya hanya memberikan tumpuan kepada lubang air tersebut kerana ia mungkin akan memulihkan lagi keadaan. Akhirnya, saya mendapat tahu bahawa lubang air itu tersumbat kerana beberapa helai tisu yang tidak dibuang dengan betul tadi.

Otak saya menjadi buntu, tiada lagi jalan keluar dari masalah tersebut. Air mula naik hingga ke buku lali. Tanpa menunggu lagi, saya mencapai tuala mandi yang masih tergantung lalu mengikatnya di kepala paip yang tertanggal itu. Walaupun ia tidak akan tahan lama, ia berfaedah juga kerana ia boleh menahan keluarnya air untuk sementara waktu. Ketika paip itu diikat dengan tuala, aku keluarkan kepingan tisu yang tersumbat di lubang air. Nasib saya baik kerana air tidak mula melimpah keluar dari bilik mandi itu. Akhirnya, banjiran air pun turun.

Saya keluar dari bilik mandi lalu menukarkan tuala yang basah itu dengan tuala yang kering. Pada waktu itu, saya hanya bersendirian di rumah. Kedua-dua orang tua saya masih belum pulang dari kerja. Sukar untuk saya mendapatkan bantuan. Setelah menukarkan tuala itu, saya menuju ke arah stor lalu mencari peralatan khas untuk memperbaiki kepala paip itu. Pencarian itu hanya sia-sia sahaja kerana saya tidak tahu alat apa yang harus digunakan. Saya jadi keliru antara alat-alat yang ada. Saya ke bilik mandi sekali lagi dan menukarkan tuala sekali lagi. Selain daripada tuala, saya mengambil beberapa tali getah yang telah disimpan di almari dapur. Saya mengikat tali getah itu kepada kepala paip lalu membalut tuala di sekeliling. Saya bersyukur kerana bilangan air yang keluar sudahpun berkurangan.

Tidak lama kemudian, kedua-dua orang tua saya pun pulang dari kerja. Dengan pantas, saya terpekik memanggil ayah saya supaya datang ke bilik mandi. Mereka agak terkejut dan ayah terus ke luar beranda lalu menutup paip air yang utama. Saya tidak teringat langsung mengenai paip utama itu dan tidak teringat untuk menelefon mereka untuk meminta bantuan. Namun kini, saya hanya bersyukur bahawa bapa sudah pulang dan akan memperbaiki kepala paip yang tertanggal itu.

Kejadian ini memberikan saya pengajaran bahawa jika sesuatu yang berlaku dan berseorangan di rumah, janganlah lupa untuk meminta bantuan jika kita tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dengan bantuan itu, kita akan memulihkan keadaan dengan selamat dan tanpa membuang masa kerana masa itu emas.


(447 perkataan)

007. Ilmu Hanya Bermanfaat Sekiranya Dikongsi Bersama

Cikgu sudah pun menyemak karangan-karangan yang dihantar semasa cuti sekolah. Berikut merupakan beberapa potong karangan yang telah anda hasilkan untuk dikongsi bersama.

Cikgu berharap pelajar-pelajar yang melungsuri lelaman ini tidak kira dari Sekolah Menengah Hong Kah atau dari sekolah-sekolah lain boleh menuliskan nama, kelas dan sekolah anda sekiranya menggunakan petikan-petikan yang disiarkan.

Cikgu mengucapkan terima kasih terlebih dahulu di atas kerja sama anda.

2006/01/09

006. Tugasan Karangan

Salam sejahtera pelajar budiman

Saya sudah pun mengembalikan tugasan-tugasan karangan yang anda hantarkan kepada saya semasa cuti Disember dahulu. Seperti yang telah saya katakan tempoh hari, saya amat berpuas hati dengan hasil-hasil karya kamu. Nampaknya, ramai yang memahami cara menulis karangan-karangan jenis naratif.

Sekiranya kamu sudah selesai membuat pembetulan pada tugasan-tugasan yang disemak, sila hantarkan kepada saya melalui e-mel. Kemudian itu, saya akan menyiarkan di lelaman ini untuk dikongsi bersama masyarakat umum.

2006/01/04

005. Semakan Tugasan Karangan

Terima kasih saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah menyelesaikan tugasan yang saya berikan semasa cuti sekolah dahulu.
Walaupun terdapat beberapa kesilapan bahasa, saya tetap berpuas hati dengan karangan-karangan anda. Saya sudahpun menyemak karangan-karangan tersebut yang akan kita bincangkan bersama apabila berjumpa nanti.
Apabila anda selesai sahaja membuat pembetulan, saya akan sertakan karangan-karangan anda ke dalam blog ini buat tatapan umum. Saya percaya pelajar-pelajar lain boleh memanfaatkan karangan-karangan yang telah kamu hasilkan.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?