2006/02/04

012. Nur Amirah Mathuri: GCE O 1999

Pada masa itu, saya hanya berumur enam tahun. Seperti biasa, setiap hujung minggu, kami saudara mara semua akan berhimpun di rumah nenek. Pada hari itu, selepas bermakan malam, mak cik saya sekeluarga bercadang untuk pulang. Saya sekeluarga pun mengambil keputusan untuk menemani mereka ke perhentian bas yang terletak tidak begitu jauh dari rumah nenek saya. Dalam perjalanan ke perhentian bus, kami melalui tempat meletak kereta. Secara kebetulan saya terpandang ke kanan.

Mata saya melekat pada suatu pandangan itu. Terdapat tiga ekor kucing yang sedang tertiarap di bawah sebuah kereta Toyota berwarna hitam. Seperti biasa, saya mula rasa ghairah dan ingin merasa bulu kucing-kucing yang halus itu. Saya berhenti di hadapan kereta itu, memerhatikan kucing yang di tengah. Ia kelihatan muram dan tidak bermaya. Saya mula rasa kasihan terhadap kucing itu. Saya mula menyangkung di hadapannya dan membelainya.

“Adik, cepatlah! Sudah, jangan main dengan kucing tu lagi.” teriak kakak saya.

Dengan hati yang berat, saya pun meninggalkan tiga kucing itu bersendirian.
Saya sambung berjalan. Saya menoleh ke belakang untuk melihat kucing itu lagi. Saya terperanjat apabila melihat ketiga-tiga kucing itu sedang megikut saya dari belakang. Saya mula rasa tak selesa. Saya, kakak saya dan saudara saya mula berasa takut. Kami berjalan dengan lebih pantas. Saya toleh ke belakang sekali lagi untuk melihat sama ada kami masih diikuti oleh kucing-kucing itu. Ternyata, mereka masih di belakang kami.

Tiupan angin yang bersepoi-sepoi menambahkan rasa ketakutan kami. Mata kucing-kucing itu kini nampak begitu garang. Mereka memandang kami dengan begitu tajam sekali. Bulu roma saya mula berdiri tegak. Saya dapat merasakan bahawa kucing-kucing itu semakin cepat mengikut jejak langkah kami. Fikiran saya buntu, saya mengajak kakak dan saudara saya untuk lari dan berpisah.

Kucing itu dengan pantas mengejar kami. Saya sempat bersembunyi di belakang sebuah tembok. Salah seekor kucing itu dengan tiba-tiba melari ke hadapan saya dan melompat. Saya menjerit kesakitan, kucing itu telah mencekau peha kanan saya. Kakak dan saudara saya pun menuju ke arah saya. Pada masa itu, kucing itu sudah tiada di situ. Melihat keadaan saya, kakak saya lari memanggil ibu bapa saya yang sudah jauh di hadapan. Saya duduk tergamam. Saya bingung dengan apa yang telah berlaku.


Saya dibawa ke hospital untuk dirawat. Sejak hari itu, hingga kini, saya masih tidak boleh membawa diri saya untuk berjinak dengan sebarang kucing. Kejadian itu benar-benar telah mengubah hidup saya.

(376 perkataan)


Comments:
Suatu karangan yang baik dan dapat mengekalkan minat pemeriksa. Mempunyai perkembangan plot, klimaks dan penyelesaian yang jelas dan sesuai dengan tema yang diberikan.

34/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?