2006/02/04

013. Nur Amirah Mathuri: GCE O 1998

Suatu pengalaman yang lain daripada yang pernah saya alami, masih segar di ingatan. Ia sangat bermakna pada saya, kerana ia telah banyak mencabar kesabaran, minda dan juga fisikal saya.

Kakak saudara saya bersama rakan sekerjanya akan mengatur acara Maraton Standard Chartered tahun ini dan memerlukan beberapa orang sukarelawan untuk menolongnya di sana. Lalu, dia meminta pertolongan daripada saya, kakak saya dan juga adik beradiknya.

Kami bermula pada jam 11 malam di pejabat kakak saudara. Di sana, kami semua diberi satu baju dan pas setiap seorang yang telah disediakan khas untuk sukarelawan acara maraton itu. Kerja dibahagikan kepada kami berlima. Masa berlalu seperti kilat. Akhirnya, kerja-kerja yang patut kami buat sudah pun selesai. Lega rasanya.

Kami terus ke Padang di mana acara itu akan diadakan dan mula mengasingkan saiz-saiz baju untuk peserta-peserta yang akan lari nanti. Kami bekerja secepat mungkin, kerana masa yang ada begitu terhad.

Tidak lama kemudain, makanan katering pun tiba, kami harus mengangkat makanan yang dibekalkan dari lori ke khemah. Ia adalah satu cabaran bagi kami kerana setiap kotak berisi 50 epal dan setiap bakul berisi 54 paket makanan. Saya bertekad untuk menguji kekuatan saya. Mujurlah, saya berjaya untuk mengangkat beberapa kotak itu dari lori ke khemah sendiri. Tetapi bakul-bakul itu terlalu berat, jadi kami membiarkan sukarelawan lelaki yang lain untuk mengangkatnya.

Semua makanan itu pula harus dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan di situ. Kami harus cepat bergerak, kerana ada banyak kumpulan sukarelawan. Akhirnya, setelah semua telah dibahagikan seadilnya, ada beberapa makanan berlebihan. Kami pun makan makanan yang berlebihan itu dan minum air yang secukupnya untuk mendapatkan tenaga kami semula untuk tugasan yang akan datang.

Pada jam 6 pagi, kami dipanggil semula untuk tugasan yang seterusnya. Kali ini, kami harus berpisah dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan. Kami harus membahagikan 50 keping papan tulis kecil bersama pen kepada penyokong-penyokong, supaya mereka boleh menuliskan kata-kata perangsang untuk pelari-pelari acara itu. Saya bernasib baik kerana dapat memberi 27 set keseluruhannya.

Yang lain hanya mampu memberi sedikit sahaja. Mereka berasa hampa, jadi saya menceriakan mereka dengan menceritakan reaksi penyokong-penyokong di lokasi saya apabila diminta untuk mengambil satu set seorang. Kami pun mula berganti-ganti menceritakan pengalaman masing-masing sambil berpatah balik ke Padang. Kami semua berasa sangat letih, ditambah pula dengan cuaca yang panas terik pada hari itu.

Di Padang, kesemua sukarelawan diminta mengisi borang dan beratur untuk mendapatkan gaji, yang berupa $20 wang tunai. Saya bersama saudara mara saya memberi peluang sukarelawan yang lain untuk beratur dahulu. Saya memerhatikan bahawa ramai sukarelawan di situ adalah remaja. Saya rasa ia adalah sesuatu yang baik. Oleh kerana ada seramai 600 sukarelawan, kami harus menunggu 2 jam untuk giliran kami. Kami berasa puas kerana kami telah menolong dengan ikhlas. Walaupun kami letih kerana telah bekerja selama 16 jam tanpa tidur, kami pasti akan membawa pulang banyak pengalaman dari acara ini. Tidak mungkin saya akan dapat melupakan acara ini.

(400 perkataan)


Comments:
Sebenarnya, karangan anda ini sudah terkeluar daripada kehendak soalan. Kegiatan "luar anjuran sekolah" bermaksud suatu kegiatan luar dari sekolah yang dirancang oleh warga sekolah iaitu guru-guru ataupun murid-murid. Contoh-contoh kegiatan sebegitu adalah seperti kegiatan mengumpul dana, lawatan ke luar negara dan sebagainya.

Karya anda memang agak menarik untuk dibaca tetapi dari segi isi, anda akan gagal. Walau bagaimanapun, sekiranya dinilai daripada segi bahasa, ianya telah membantu anda untuk lulus.

Oleh itu, cikgu berharap pelajar-pelajar lain dapat menimba pengajaran daripada contoh yang dipaparkan ini dan cuba mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama.

27/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?