2006/02/04

014. Siti Farhana Md Ali: GCE O 1998

Nun jauh di tepi bangunan sekolah, Roslan duduk sendirian. Tragedi yang menimpa keluarganya telah mengubah sikapnya. Aku tahu dia perlukan bantuan daripadaku tetapi aku gagal untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Pada tanggal 9 Oktober 2002, kehidupan Roslan mulai berubah. Ia berpunca daripada keputusan ibu bapanya yang mahukan penceraian. Akibat keputusan tersebut, Roslan berasa tertekan dan sedih mengenangkan nasib dirinya.

“Ibu, janganlah membuat keputusan dengan terburu-buru. Lan masih memerlukan curahan kasih sayang ibu dan ayah. Lan tidak mahu keluarga kita berpecah! ” rayuan anak tunggal yang bernasib malang itu tidak sama sekali menyentuh perasaan ibu bapanya.

Namun, ibu bapanya tetap berpegang kepada keputusan mereka. Roslan hanya dapat berserah kepada takdir. Roslan enggan meminta tolong kerana tidak mahu keadaan keluarganya diketahui oleh orang. Walau bagaimanapun, aku sedar bahawa rakanku mempunyai masalah tetapi aku sendiri takut untuk menghampirinya untuk mengetahui hal yang sebenarnya. Aku hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja Roslan yang kadangkala dibuai oleh perasaan emosinya dan perangainya yang degil.

Setahun sudah berlalu setelah ibu bapanya bercerai. Kini Roslan tinggal bersama ayahnya kerana dia tidak mahu tinggal bersama ibunya yang sudah bernikah lagi. Walaupun dia tinggal di samping ayahnya, dia tidak mendapat sepenuh perhatian kerana perangai ayahnya yang suka berfoya-foya dengan wanita-wanita di kelab-kelab malam.

Oleh kerana itu, Roslan selalu bergaduh dengan rakan sekolahnya dan sering bersikap biadap dengan guru-guru. Pelajar yang dahulunya mempunyai semangat yang kental untuk belajar kini sudah tidak lagi berminat untuk meneruskan persekolahannya. Roslan akhirnya tercicir dari sekolahnya. Pada saat itu juga , aku benar-benar kecewa kerana tidak dapat membantunya.

Dua tahun kemudian, aku seperti tidak percaya apabila terlihat wajah Roslan di kaca televisyen. Roslan muncul di kaca televisyen kerana menjadi salah satu pelajar terbaik bagi keputusan peperiksaan peringkat ‘O’. Aku berasa gembira dengan pencapaiannya.

Tanpa disedari, Roslan datang ke arahku dan menepuk bahuku. Aku dikejutkan daripada khayalanku. Kita bersalaman dan berpelukan erat kerana sudah lama tidak berjumpa. Roslan memberitahuku bahawa dia menyesal dengan perangainya yang degil dahulu. Dia juga mengatakan bahawa dia sering duduk di tepi bangunan sekolah untuk mengimbas kembali kehidupan silamnya. Akhirnya, sikap Roslan berubah dan dia kini seorang yang lebih beryakinan. Aku pun mengajak Roslan pulang ke rumahku untuk makan malam bersama.

(357 perkataan)


Comments:
Karangan ini lebih tepat sekiranya kamu menjurus kepada bagaimana kamu membantu Roslan menghadapi keadaan yang dilaluinya dahulu.

Suatu kesilapan yang biasa pelajar-pelajar lakukan ialah apabila pelajar terlalu terbawa-bawa dengan jalan cerita yang tidak sesuai dengan petikan teks yang diberikan. Akibatnya, cerita mereka itu menyeleweng daripada tema yang sepatutnya.

Cikgu berharap apabila pelajar-pelajar mula membuat perancangan untuk menulis karangan sebegini, pastikan bahawa setiap perkataan dalam petikan yang diberikan benar-benar dititik beratkan dan diambil kira.

31/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?