2006/02/04

016. Adilah Othman: GCE O 2004

Dompet itu aku buka. Terpapar sekeping gambar hitam putih. Sebuah keluarga kelihatan begitu mesra bersama. Aku merenung dan semakin tertarik kepada gambar itu.

Aku mengimbas kembali saat-saat bahagia yang aku alami ketika aku masih kecil bersama kedua-dua ibu bapaku. Aku sering dimanja, dicurah kasih sayang dan diberi perhatian yang sepenuhnya. Namun, ketika aku berusia 15 tahun, keadaan semakin gawat dan ayah pula dibuang kerja. Ayah seorang sahajalah yang menampung duit perbelanjaan kami sekeluarga selama ini. Ibu pula terpaksa mencari kerja sambilan demi mencari duit untuk memberi kami makan buat sementara waktu. Aku pula, cuba berjimat-jimat wang dan hanya berbekalkan nasi dan telur untuk dimakan di sekolah.

Lebih merumitkan lagi, ayah sudah mula terjebak dalam kancah dadah. Dalam keadaan sesak dan tertekan, ayah telah berjanji pada temannya untuk menolong menjual dadah. Lama-kelamaan, keadaan keluargaku menjadi semakin gawat. Ketagihan ayah pada dadah semakin meluap-luap. Ibu sering dipukul bantai jika tidak memberinya wang untuk membeli dadah. Lebih menyedihkan lagi, ibu dipaksa menagih agar menanggung penderitaan yang sama seperti ayah.

Apabila pertelingkahan mereka bermula, aku hanya dapat melihat betapa teruknya ibu dibelasah. Apakan daya, aku tidak boleh membuat apa-apa. Kadangkala, sehingga tiga hari aku tidak diberi makan kerana sudah kehabisan wang. Aku hanya dapat bersabar. Tempatku mengadu kini hanyalah kepada datuk dan nenekku sahaja. Pernah juga aku diejek di sekolah sebagai “anak jijik” dan bermacam-macam cacian. Namun, aku tetap tabahkan hati.

Nenek dan datuk sudah tidak tahan lagi melihat keadaan ibu dan ayahku. Mereka melaporkan anak dan menantu mereka sendiri kepada pihak polis. Aku dapat merasakan betapa hancurnya hati nenek kerana kesalahan yang telah anak kandungnya sendiri lakukan. Malangnya, sehari selepas mereka ditangkap, datuk mengalami serangan jantung. Datuk cuba bertahan sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Amir, Amir? Dengar tak apa yang nenek cakapkan tadi? Marilah kita jalan sekarang.”

Aku hanya tersenyum lantas mengekorinya dari belakang. Selepas itu, kami menyerahkan dompet itu kepada polis. Kini, aku tinggal bersama nenek. Dengan mengimbangi masa untuk kerja dan sekolah, aku pula yang menampung kehidupan nenek. Peristiwa yang berlaku empat tahun yang lalu itu aku cuba ketepikan. Yang penting bagiku sekarang ialah untuk belajar bersungguh-sungguh agar mempunyai masa depan yang cerah.

(350 patah perkataan)


Comments:
Cerita yang dapat mengekalkan minat pembaca.Pendekatan plot cerita juga amat menyegarkan. Mempunyai klimaks dan penyelesaian yang munasabah.

35/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?