2006/02/16

018. Nur Jalilah Lokman: GCE O 1998

Pada tanggal 2 Mac 2005, semua pelajar menengah tiga telah menghadiri perkhemahan di Dairy Farm. Memori tentang perkhemahan itu masih segar lagi di dalam ingatan saya. Saya mendapati bahawa dengan adanya perkhemahan itu, saya lebih mengenali rakan sedarjah saya. Bukan itu sahaja, saya juga mempelajari betapa pentingnya nilai-nilai berkomunikasi secara efektif, saling bekerja sama dan bantu membantu itu dalam kehidupan.

Pada pagi hari tersebut, semua pelajar menengah tiga telah diarahkan untuk berhimpun di dewan sekolah. Kemudian, ketua perkhemahan dan pelatih-pelatih yang akan mendampingi kami di sepanjang perkhemahan diperkenalkan. Selepas itu, setiap pelajar di dalam kelas diasingkan kepada dua kumpulan iaitu mengikut nombor indeks genap dan ganjil dalam senarai kelas.

Seterusnya, saya dan rakan yang bernombor indeks ganjil memperkenalkan diri kepada instruktor yang mengambil kumpulan kami. Kami juga membuat peta minda tentang kumpulan kami.

Dalam pukul sepuluh setengah pagi, kami berangkat ke tapak perkhemahan Dairy Farm. Saya berasa sungguh ghairah dan tidak sabar untuk melihat tempat itu. Setibanya di tempat itu, kami semua diarahkan untuk duduk di kantin. Ketua perkhemahan itu memberikan taklimat tentang tapak perkhemahan kami dan menyampaikan peraturan-peraturan yang harus kami patuhi semasa penginapan kami di sana. Selesai sahaja sesi taklimat, kami pun membawa beg ke tempat tidur kami. Saya begitu gembira kerana tempat tidur itu kelihatan baru dan tandasnya berdekatan sahaja.

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas tengah hari. Maka, sudah tibalah masanya untuk makan. Saya berasa puas hati dengan juadah yang dihidangkan. Selepas menikmati juadah tengah hari, kami mula berangkat ke Hutan Simpanan Bukit Timah yang agak berdekatan dengan tapak perkhemahan kami. Alangkah indahnya suasana hutan yang permai itu. Saya kagum melihat keindahan flora dan fauna yang ada di sana. Segala kepenatan dan halangan yang terpaksa kami tempuhi semasa berada di hutan simpanan tersebut seperti berbaloi apabila saya terkenangkan perasaan tenang yang saya alami semasa dikelilingi oleh kehijauan alam semula jadi.

Pada waktu malamnya pula, sekali lagi kami makan bersama dan menghiburkan hati dengan menyanyikan lagu bersama-sama. Saya berasa amat seronok pada malam tersebut walaupun sesekali terasa juga rasa seram kerana jarang berada di luar rumah pada waktu-waktu begini. Mujurlah tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku semasa malam pertama berada di tapak perkhemahan Dairy Farm.

Pada hari kedua, aktiviti yang sepatutnya kami lakukan mengkehendakkan kami melalui elemen-elemen tinggi. Tujuan kami melalui elemen-elemen tersebut ialah untuk membantu kami mengatasi perasaan takut terhadap tempat-tempat yang tinggi dan pada waktu sama membina keyakinan diri. Saya masih ingat lagi perasaan saya yang seram sejuk memikirkan sama ada saya berkeupayaan untuk mengatasi cabaran-cabaran elemen tinggi yang ada. Walau bagaimanapun, sebelum sempat kami memulakan aktiviti elemen tinggi, cuaca tidak mengizinkan kami meneruskannya. Maka terpaksalah kami dibawa ke tempat teduh untuk aktiviti-aktiviti lain. Pada waktu itu, saya tidak pasti sama ada saya gembira dengan keadaan yang sedang hujan ataupun hampa kerana tidak dapat melalui aktiviti elemen tinggi seperti yang telah dirancangkan.

Walau bagaimanapun, Saya tetap mempelajari banyak perkara semasa aktiviti-aktiviti kumpulan yang dirancangkan. Antaranya berkomunikasi secara efektif dan bekerja sama antara satu sama lain. Saya menyedari bahawa kita pasti tidak akan ke mana-mana tanpa nilai-nilai tersebut.

Hari yang ketiga merupakan hari yang terakhir untuk kami di perkhemahan Dairy Farm itu. Saya berasa girang kerana dapat menghadiri perkhemahan itu tetapi pada waktu yang sama, berasa hiba kerana harus berpisah dengan instruktor-instruktor yang telah bersama kami sepanjang perkhemahan tersebut. Oleh itu, saya tidak melepaskan peluang untuk turut mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan. Saya pasti bahawa pengalaman yang saya perolehi di sepanjang perkhemahan di Dairy Farm akan saya ingati hingga akhir hayat saya.

Comments:
Karangan Jalilah tidak begitu menyerlah daripada segi jalan cerita kerana perkara yang dibicarakan biasa-biasa sahaja.

Karangan ini akan lebih menyerlah sekiranya Jalilah menceritakan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku semasa menghadiri perkhemahan itu.

32/50
 
Walau bagaimanapun, sekiranya dibandingkan dengan karangan Amirah, Jalilah telah berjaya menulis karangan yang sesuai dengan kehendak soalan.
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?