2006/03/01

020. Nur Aqilah Ibrahim: GCE O 1998

Sedang aku duduk menonton sebuah rancangan pada hari Jumaat kelmarin, ibu mendekati aku. Dia berkata,

“Ain, boleh ibu minta tolong?”

“Apa dia ibu?” aku bertanya.

“Sebenarnya, ibu dan ayah telah diundang ke sebuah majlis perkahwinan tetapi kami tidak dapat menghadiri majlis itu. Kami harus ke Malaysia untuk menziarah datuk saudara ayah yang sedang sakit tenat. Boleh tak Ain mewakili ibu dah ayah?” jawab ibuku.

“Oh begitu. Bila majlis itu akan diadakan?” tanya aku kembali.

“Pada hari Ahad ini. Ain bawa adik sekalilah supaya Ain ada teman,” kata ibu.

“Baiklah ibu,” jawabku.

Pada hari Ahad itu, aku dan adikku, Ani pergi ke majlis tersebut yang terletak di Bedok. Nasib kami baik kerana kami tidak tersesat jalan walaupun saya sendiri tidak berapa pasti tentang kedudukan tempat itu.

Setibanya kami di majlis tersebut, aku berasa amat tidak selesa sekali. Aku tidak pasti bagaimana perasaan Ani kerana aku tidak bertanya dengannya pada waktu itu. Aku berasa tidak selesa sebab tidak seorang tetamu pun yang aku kenali. Untuk menenangkan perasaanku, aku menghampiri seorang mak cik yang aku fikir merupakan ibu pengantin sebab ramai tetamu bersalam-salaman dengannya.

“Salam sejahtera mak cik. Boleh saya tumpang tanya? Adakah ini majlis perkahwinan Cik Sabrina?” tanyaku.

“Ya saya. Boleh saya bantu?” tanya mak cik itu kembali.

“Saya anak kepada Encik Rahim dan Cik Mariam. Saya Ain dan ini adik saya, Ani. Kami mewakili ibu dan ayah kerana mereka tidak dapat hadir. Mereka harus ke Malaysia untuk menziarahi datuk saudara ayah.”

“Oh! Anak Cik Mariam rupanya. Silalah. Jemput makan,” jawab mak cik itu.

Sedang kami menjamu selera, aku tetap berasa tidak selesa dan kurang berselera kerana aku betul-betul tidak kenal seorang tetamu pun di sana. Aku berperasaan seperti semua orang sedang asyik memerhatikan kami berdua sahaja. Aku berasa kurang senang sekali. Aku menyuruh Ani untuk cepat makan lalu kami pergi bersalam-salaman dengan ibu pengantin itu. Orangnya baik sekali. Dia memberi kami berkat dan menyuruh kami menyampaikan salam kepada ibu dan ayah kami. Selepas itu, kami pun beredar dari situ untuk pulang ke rumah.

Selepas pengalaman itu, apabila ibu atau ayah menyuruh aku mewakili mereka, aku selalu bertanya dahulu siapakah orang yang mengadakan majlis tersebut kerana aku tidak mahu perasaan tidak selesa itu berulang lagi.


Comments:
Cerita yang kamu karang ini agak menarik tetapi boleh diperbaiki lagi. Untuk karangan sebegini, lebih baik juga sekiranya kamu menceritakan sedikit tentang keadaan majlis tersebut.

Sebagai contoh, apa yang kamu pandang dan dengar.

33/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?