2006/03/04

026. Irma Sakinah Anwar: GCE O 2000

Nadia memegang parut di kepalanya. Parut yang sudah hadir sejak dua puluh tahun yang lalu. Parut yang telah membawa banyak kenangan pahit dalam hidupnya yang sehingga kini tidak pernah luput daripada ingatan.

Sejak dia kecil, Nadia tidak pernah menikmati cebis-cebis hidup yang bahagia dan menggembirakan. Malah, hidupnya sengsara. Dia selalu diseksa dan dipukul bapanya yang kaki judi dan kaki botol itu. Yang lebih teruk lagi, Nadia terpaksa tidur di kandang kecil dan sempit di bawah rumah kampungnya. Tempat yang kotor dan gelap itulah menjadi tempat dia tidur tanpa tilam, bantal ataupun selimut.

Setiap hari pula, dia harus melakukan semua kerja rumah. Kalau ada masakan yang tidak disukai atau rumah yang tidak cukup bersih, bapanya akan selalu memukulnya. Kadangkala, rasa sakit akibat pukulan itu boleh berlarutan sehingga beberapa hari. Tiba sahaja waktu malam, Nadia dipaksa menjadi alat melepaskan nafsu lelaki. Bapanya akan membawa lelaki datang tidur dengannya dan akan mendapat upah selepas itu. Begitulah hidupnya seharian. Walaupun pahit ditelan, dia terpaksa menerima hakikatnya dalam usia yang semuda empat belas tahun.

Namun begitu, nasib seakan mula menyebelahinya. Pada suatu hari, seorang janda yang berusia lewat 30an telah berpindah ke sebuah rumah bersebelahan Nadia. Cik Ani namanya dan dia tinggal sendirian. Nadia tidak pernah berani bergaul dengan orang luar kerana Nadia tahu bahawa bapanya pasti akan menyeksa dirinya jika dia mengetahui bahawa Nadia telah berbual dengan orang lain.

Setiap kali bertembung dengan Cik Ani, dia akan melarikan diri daripadanya. Wajah kehairanan sering jelas kelihatan pada air muka Cik Ani. Walaupun begitu, Nadia selalu berdoa di dalam hatinya mengharapkan Cik Ani menyelamatkannya daripada derita hidupnya selama ini.

Akhirnya, doanya termakbul juga. Pada suatu petang, bapanya telah memukulnya lagi atas kesilapan yang kecil.

“Anak tak guna! Kenapa kau bodoh sangat? Takkan gosok baju pun tak tahu? Tengok ini! Sampai baju aku pun terbakar! Hmph! Ambil kau!” pekiknya sambil memukul Nadia dengan sebatang kayu yang telah dicapainya dari bawah perdu sebatang pokok di luar.

Nadia hanya mampu meraung kesakitan dan merayu meminta maaf. Bapanya terus memukulnya dan mengheretnya dari satu sudut rumah ke sudut yang satu lagi. Pada waktu itu, Nadia rasa seperti ingin mati. Dia tidak sanggup menahan derita ini lagi.

“Hey! Awak sudah gila kah? Jangan pukul dia lagi! Lepaskan dia! Memang tidak berhati perut betul!” suara yang diharapkan itu kedengaran.

Cik Ani cuba melepaskan Nadia daripada genggaman bapanya. Dia menariknya keluar dan lari membawa Nadia ke rumahnya. Pada masa yang sama, bapanya mengejar mereka dari belakang. Cik Ani dengan pantas menutup daun pintu rumahnya. Lelaki tua itu terus mengetuk pintu kuat dengan batang kayu tadi. Pintunya seperti hendak roboh diketuknya. Orang kampung pun sudah mula berkerumun di depan rumah janda itu melihatkan apa yang terjadi. Setelah hampir sejam kemudian, bapa Nadia akhirnya mengalah dan pulang ke rumahnya.

Pada malam itu, Nadia diubati. Di saat yang terdesak itu, dia telah meluahkan segala kisah hidupnya yang sengsara selama itu. Dia bersyukur kerana dia akhirnya dapat menemui insan baik yang dapat menyelamatkannya. Namun begitu, perasaan takut terhdap bapanya masih tetap ada. Dia mengambil keputusan untuk pulang semula ke rumahnya. Cik Ani cuba menghalangnya tetapi dia tetap berdegil.

“Walau apapun, dia tetap bapa saya. Saya sudah tiada siapa lagi di dunia ini selain bapa saya. Dia memerlukan saya. Dia tidak tahu menjaga dirinya sendiri. Bagaimana dengan makan minumnya nanti? Ini sudah menjadi tanggungjawab saya, Cik Ani. Suka atau tidak, saya terpaksa melakukannya demi masa hadapan saya.” Nadia cuba menjelaskan.

Kembalilah semua seksa hidupnya. Nadia tidak tahu kalau apa yang dilakukan selama ini kerja bodoh tetapi yang pasti, dia tahu hidupnya sudah ditakdirkan begitu. Dia tiada pilihan lain. Cik Ani pernah berkali-kali menghulurkan bantuan termasuk menyelamatkannya daripada genggaman bapanya yang kejam itu. Tetapi, Nadia menolaknya. Dia hanya mampu pasrah sahaja.

Namun begitu, satu peristiwa telah akhirnya menyelamatkan Nadia daripada terus terseksa di tangan bapanya yang tidak berperikemanusian itu. Pada malam yang dingin itu, Nadia yang baru sahaja selesai tugas malamnya sedang menyiapkan tempat tidurnya di kandang itu. Tanpa disedarinya, dapurnya kebakaran. Kebetulan pula, Cik Ani yang baru pulang dari kelas agama terlihat akan kebakaran itu.

Dalam sekelip mata, api telah menjilat setengah daripada rumah Nadia. Bapanya telah cuba memadamkan api kebakaran itu. Nadia yang tidak tahu apa-apa itu tiba-tiba dikejutkan Cik Ani dan ditarik keluar kandang itu. Api itu semakin membesar. Orang kampung pula membantu dalam memadamkan api yang semakin merebak itu. Pada waktu itu, Nadia hanya mampu melihat tempat dia berteduh musnah dalam kebakaran. Walau bagaimanapun, bapanya tidak sempat diselamatkan. Dia telah meninggal dalam kebakaran rumahnya itu.

Setelah kejadian malang itu, Nadia telah dihantar ke rumah tumpangan untuk remaja bermasalah. Cik Ani banyak memberinya semangat dan dorongan untuk hidup kembali. Di rumah itu, dia telah diberi didikan akademik dan agama. Dia juga perlu menjalani kaunseling. Hidupnya seperti diberi nafas baru. Namun begitu, Cik Ani tiba- tiba menghilang. Nadia tidak dapat menghubunginya lagi. Janda itu juga tidak mengunjunginya lagi di rumah itu.

Kini, dua puluh tahun telah berlalu. Nadia masih tetap menunggu kehadiran Cik Ani dalam hidupnya. Sudah puas dia cuba mencarinya tetapi gagal. Dia masih hairan mengapa Cik Ani telah menghilangkan dirinya tanpa sebarang berita.

Nadia terkejut dari lamunannya apabila terdengar pekikan anak kecil. Sedang dia hendak berganjak dari tempat duduknya itu, dia terpandang seorang wanita tua yang sedang berjalan menuju anak kecil itu. Wajahnya mirip orang yang dicarinya selama ini. Rasa lega dan gembira mula menyelubungi sanubarinya. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia memeluk wanita tua yang berdiri di hadapannya itu. Inilah orang yang dicari-carinya selama ini. Sudah terbayang olehnya bagaimana untuk membalas budi wanita tersebut.


Comments:
Irma, karangan kamu amat baik dan meyakinkan. Jalan cerita telah mengekalkan minat pemeriksa secara berterusan.

Bahasa yang digunakan juga baik dan terdapat frasa-frasa berbunga yang sesuai.

Daripada segi bahasa, pemeriksa hanya dapat mengenal pasti beberapa kesalahan kecil sahaja.

Syabas! Cikgu berharap kamu akan terus mengasah bakat menulis ini.

40/50
 
wah!baguslah karangan ini!teruskan usaha awak ini irma
 
wah!baguslah karangan ini!teruskan usaha awak ini irma
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?