2006/03/04

027. Irma Sakinah Anwar: GCE N 2002

Cikgu Salha pernah memberitahu aku dan kawan-kawanku, “Kamu semua harus bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dalam hidup.” Pada masa itu, aku tidak percaya akan kata-katanya. Walau bagaimanapun, suatu peristiwa telah mengubah fikiranku.

Aku memang seorang yang bijak dan cekap dalam pelajaran. Aku selalu mendapat markah tinggi untuk peperiksaan. Aku ingin sekali menjadi seorang doktor dewasa kelak. Itu sudah menjadi impianku sejak kecil lagi. Namun begitu, aku tidak bersungguh-sungguh mencapai matlamat aku itu. Aku fikir aku sudah cukup pintar dan tidak perlu bekerja keras lagi.

Aku masih ingat lagi sewaktu aku dalam menengah empat. Peperiksaan GCE peringkat O hampir tiba. Pelajar semua sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. Aku pula asyik berseronok sahaja. Aku selalu keluar malam. Aku mula bergaul dengan remaja yang tidak bermoral. Aku tidaklah serajin mengulangkaji pelajaran seperti dahulu. Walaupun begitu, aku masih lulus dalam kelas ujian dan dapat memahami apa yang diajar guru. Jadi, tidak hairanlah kalau aku masih dapat lulus dalam peperiksaan besar tanpa belajar bersungguh-sungguh.

Pada suatu hari, aku dipanggil Cikgu Salha ke bilik guru. Aku hairan akan apa yang hendak dikatakannya kerana aku fikir prestasi pelajaran aku masih baik dan tiada guru yang tahu akan perubahan dalam diri aku. Tetapi aku salah.

“Razali, awak tahu tak mengapa awak dipanggil? Saya telah memerhatikan awak sejak kebelakangan ini. Saya mendapati mutu kerja awak sudah menurun. Awak tidak lagi bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan tugas yang diberi. Kenapa dengan awak? Adakah Razali sedang menghadapi masalah? Kalau begitu, jangan biarkan masalah awak itu mengganggu pelajaran. Saya berharap awak dapat berusaha dengan lebih gigih lagi. Saya tidak mahu awak gagal nanti."

Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. Pada waktu itu, aku tidak mempedulikan kata-kata Cikgu Salha. Sedikit kesedaran pun tidak ada dalam diriku. Aku terus terjerumus dalam kegiatan yang tidak sihat seperti menghisap rokok dan meminum minuman keras. Rasa malas sudah seperti menguasai tubuhku. Aku tidak lagi peduli untuk mengulangkaji pelajaran, apatah lagi peperiksaan peringkat O sudah hampir tiba waktu itu. Aku yakin aku akan membuatnya dengan cemerlang dan mencapai impianku selama ini.

Akhirnya, hari yang digeruni ramai pelajar pun tiba. Semalaman aku tidak tidur kerana cuba memasukkan segala apa yang dipelajari sepanjang setahun dalam satu malam sahaja. Pada hari itu, aku tidak sangka aku sebenarnya akan terkial-kial semasa membuat kertas ujian. Tiba-tiba, soalan yang biasa aku buat menjadi sukar. Aku berasa ngantuk dan penat. Aku menjadi bingung dan fikiranku buntu. Di saat itu, aku mulai menyesal kerana tidak bekerja keras untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan arah tujuan hidupku nanti.

Setelah selesai segala kertas ujian yang dihadapi, aku hanya dapat berdoa dan berharap aku dapat lulus cemerlang supaya dapat melangkah setapak lagi ke hadapan untuk mencapai impianku menjadi seorang doktor. Setiap hari, hatiku tidak tenteram memikirkan keputusan yang bakalku terima nanti. Kini kusedari betapa bermaknanya kata-kata Cikgu Salha suatu ketika dahulu. Aku betul-betul menyesal dengan perbuatan aku itu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Akhirnya, hari yang kutunggu-tunggu muncul jua. Aku pergi sekolah dengan perasaan resah dan gelisah. Aku tidak mahu menghampakan harapan ibu bapaku. Semasa guru memanggil namaku untuk mengambil keputusan, seluruh tubuhku menggigil ketakutan. Dengan jantung yang berdegap-degup, aku mencapai sekeping kertas daripada guru.

Dengan perlahan, aku memberanikan diri melihat keputusanku. Alangkah terperanjatnya aku bila mengetahui hakikat sebenar. Aku berasa sungguh kecewa. Dengan keputusan yang tidak seberapa itu, aku tidak boleh kemana-mana. Impianku hancur berkecai. Lenyaplah segala cita-cita ku untuk menjadi seorang doktor. Kini, aku percaya akan kata-kata Cikgu Salha yang kita harus bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dalam hidup.


Comments:
Cerita yang menarik dan berjaya mengekalkan minat pembaca. Syabas!

37/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?