2006/03/04

030. Nurdayana: GCE O 1999

“Ibu! Sakit jari orang.. Cepat bu, sakit!"

Tiba-tiba, kedengaran suara anak kecil berumur lapan tahun yang berteriak meminta bantuan dan jeritan si cilik telah memecah suasana sunyi sepi pagi itu. Air mata saya mengalir di pipi bak air sungai mengalir dengan derasnya. Ketakutan dan kepedihan dapat saya rasakan. Ibu dan kakak saya sedang mencuba sedaya upaya untuk melepaskan jari tengah dan manis saya yang tersepit di celah pintu gerabak yang menuju ke tandas itu. Walau bagaimanapun, tiada usaha mereka yang berhasil. Jari jemari saya tetap tersepit.

Pada waktu itu, saya masih belum matang untuk mengetahui apa yang terdapat di papan tanda yang terlekat di sebelah atas pintu gerabak kereta api itu.

“Sila picit butang yang berwarna hijau supaya pintu itu akan terbuka. Butang merah akan menyebabkan pintu ditutup. Pintu itu tidak akan terbuka atau tertutup semula jikalau anda berdiri di atas alas kaki yang di bawah ini.”

Saya tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh papan tanda itu. Saya cuma pasti bahawa jikalau saya hendak ke tandas, saya perlu menekan butang berwarna hijau. Saya pun melakukan sedemikian. Tanpa saya sedari, saya telah meletakkan tangan saya sehingga menyebabkan jari tengah dan manis saya tersepit. Saya pun mula cemas lalu meminta bantuan.

Ibu dan kakak saya bergegas ke arah saya lalu melakukan apa yang patut. Kami sedang berada di kereta api menuju Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis persandingan sepupu saya.
Pak cik saya yang kelihatan baharu bangun daripada tidur berjalan ke arah saya. Pak cik mendongak ke atas sambil membaca apa yang tentera pada papan tanda itu. Dia tersenyum lalu menyuruh saya ke tepi sedikit. Rupa-rupanya, ibu dan kakak saya serta saya sendiri tidak sedar bahawa saya telah berdiri di atas alas kaki hijau itu. Ini menyebabkan, pintu itu tidak akan tutup walaupun kami telah menekan butang merah.

Ibu dan kakak bersama pak cik saya mentertawakan saya. Adakah patut saya yang sedang dalam kesakitan, ditertawakan sahaja? Mereka tidak simpati dengan sayakah? Jari tengah saya terluka sedikit tetapi jari manis saya mengalami luka yang agak serius kerana saya telah menyarungkan cincin pada jari itu. Cincin saya telah berubah bentuk, daripada bulat kepada bentuk yang aneh. Cincin saya sudah pasti tidak boleh digunakan lagi!

Kejadian ini telah mengubah hidup saya. Ia memberi pengajaran kepada saya supaya berhati-hati bila berada di dalam keretapi atau lif. Jangan sesekali meletakkan tangan saya di pintu-pintu yang bergerak. Saya tidak tahu mengapa saya dalam fobia untuk menaiki keretapi walaupun saya sudah meningkat remaja sekarang. Kejadian itu seperti berulang kembali dalam minda saya setiap kali saya menjejaki lif ataupun kereta api. Hanya Allah sahaja yang ketahui perasaan saya di saat-saat yang genting dahulu.

“Untuk keselamatan anda, sila berdiri di belakang garisan kuning”.

Inilah kata-kata yang selalu kita dengar apabila menunggu untuk menaiki kereta api ataupun pengangkutan MRT. Untuk keselamatan saya, saya selalu mencari tempat di tengah-tengah untuk berdiri ataupun duduk.

Apabila berada di dalam lif pula, tangan saya akan sentiasa berada di belakang supaya tidak akan terlalai meletakkan tangan di pintu lif. Saya akan memarahi anak kecil yang dikenali jika mereka dengan sengaja atau tidak meletakkan tangan mereka di pintu lif. Kadangkala, abang atau kakak saya akan menyakat saya dengan meletak tangan mereka di pintu lif lalu membiarkan tangan mereka mengikut pintu yang terbuka itu. Saya akan menjerit ke arah mereka untuk berhati-hati tetapi mereka hanya mentertawakan saya. Mereka mengetahui bahawa saya terlalu fobia dengan pintu yang bergerak.

Walaupun saya kecewa dengan tindakan adik beradik saya, saya mengambil tindakan itu sebagai cabaran supaya saya dapat mengatasi fobia saya. Jari jemari yang tersepit semasa saya kecil telah mengubah hidup saya.


Comments:
Isi cerita relevan dengan kehendak soalan tetapi kurang meyakinkan. Ianya juga agak meleret pada bebeberapa bahagian.

Dayana harus cuba menulis karangan sebegini dengan lebih padat lagi.

Walau bagaimanapun, idea yang diberikan cukup asli.

32/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?