2006/03/05

033. Md Hafiz Md Yasin: GCE N 2003

Saya tidak suka akan orang yang bercakap bohong. Saya sendiri tidak pernah berbohong. Tetapi pada hari Sabtu yang lalu, saya telah berbohong kepada ibu.

“Ibu, petang nanti Hafiz dan kawan-kawan akan ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran Matematik,” ujarku dengan nada yang teragak-agak. Aku terpaksa berbohong demi menutup malu.

“Baiklah Hafiz, hati-hati ya, jangan pulang lewat,” pesan ibuku dengan nada yang pilu.

Ibu sudah bertahun-tahun mengalami masalah sesak nafas. Dia sering kelihatan lemah dan tidak berdaya untuk membuat kerja. Aku sebagai seorang anak tunggal, sering menolong ibu melakukan kesemua kerja itu.

Aku berasa serba salah. Patutkah ibu dibohongi? Aku menepis segala perasaan bersalahku. Aku lebih mementingkan kawan-kawanku. Mereka sentiasa berada di sisiku apabila aku memerlukan mereka. Jikalau aku memberitahu ibu yang aku hendak ke chalet, tentu ibu akan menghalang. Kawan-kawanku pula akan mula mengejek. Aku tidak sanggup untuk menanggung perasaan malu diejek oleh kawan-kawan.

Tanpa membuang masa, aku menyalin pakaian. Aku membawa sebuah beg sandang untuk mengisi pakaian supaya ia kelihatan seperti aku membawa buku-buku. Aku membawa tuala dan juga sabun.

“Hafiz, jangan pulang lewat ya,” pesan ibu sejurus selepas aku mencium dan mendakapnya.

Aku pun melangkah keluar dari rumah dengan hati penuh kebimbangan. Aku rasa amat serba salah. Aku yang berada di kaki lima blok sudah dapat mendengar bunyi batuk ibu.

Setibanya di chalet, aku pun menyalin pakaian. Kami makan, bernyanyi dan bermain bersama. Setelah penat bermain, kami pun terjun ke laut. Aku berasa terlalu gembira hingga terlupa akan pesanan ibu. Kami menyewa basikal dan berbasikal sekeliling Taman Permainan East Coast hingga waktu senja. Setelah berjam-jam bergembira, kami pun menyalin pakaian yang bersih dan aku pula membuang pakaian yang basah dan juga tuala supaya tidak diketahui ibu yang aku telah pergi ke pantai.

Jarum jam tangan menunjukkan sudah jam 7 malam. Matahari sudah lama terbenam. Burung-burung mula pulang ke sarangnya. Hari sudah mula gelap menandakan aku sudah terlewat pulang ke rumah. Hatiku berkata-kata,

”Ibu sedang menunggu. Dia memerlukan aku.”

Degupan jantungku semakin kencang. Aku berasa tidak selesa seolah-olah ibu sedang meraung kesakitan. Rantai yang aku pakai tiba-tiba terputus. Batunya terhempas ke bumi lalu berkecai. Rantai pemberian ibu itu sudah pecah. Aku mengutip serpihan batu yang pecah itu. Aku menggenggamnya.

Setibanya di kaki lima rumahku, pintu rumah terbuka luas. Aku ternampak
mak cik dan pak cikku sedang duduk di lantai. Mereka kelihatan amat sedih sekali. Ibuku terbujur kaku terbaring di hadapan mereka dengan matanya tertutup. Air mataku mula mengalir. Hatiku seperti terhempas ke bumi. Aku berasa terlalu sedih. Ibu sudah tiada lagi. Aku kehilangan seseorang yang amat aku sayangi. Aku menyesal dengan apa yang telah aku lakukan. Mungkin inilah balasan yang aku terima kerana berbohong. Seorang ibu itu lebih penting lagi daripada seorang kawan.

Aku telah mempelajari daripada kesilapan aku itu. Sekarang, aku tiada sesiapa lagi untuk bergantung kecuali nenekku. Sekarang aku tinggal bersamanya. Aku berjanji kepada diriku bahawa aku tidak akan berbohong. Aku amat menyesal sekali.


Comments:
Hafiz, karangan ini menarik dan telah kamu akhiri dengan pengajaran yang bermakna.

35/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?