2006/03/05

034. Nurfarahin Muhammad: GCE O 1998

“Awak, sebagai ibu dan bapa, haruslah menjaga disiplin anak awak. Ini kali kedua saya menangkap anak awak menghisap rokok di bilik tandas perempuan. Ini adalah amaran yang terakhir saya berikan kepadanya!”

Guru disiplin memberi amaran tegas kepada ibu bapaku. Ibu bapaku hanya dapat mengucapkan terima kasih kepadanya. Mereka keluar dari bilik tersebut. Ibu bapaku merupakan peguam yang terkenal. Mereka jarang meluangkan masa untukku. Aku, seorang remaja, hanya menginginkan perhatian serta kasih sayang daripada ibu dan bapa. Bapaku sungguh marah akan kelakuanku yang bodoh itu. Perjalanan pulang kami senyap sekali kerana tiada seseorang pun yang ingin berbual.

Setibanya di rumah, aku terus lari ke bilikku. Tidakkah mereka tahu bahawa aku mendahagakan perhatian mereka? Aku cuma meminta masa bersama dengan mereka seperti rakan-rakanku yang lain. Aku menangis sambil menutup mukaku dengan bantal lalu aku tertidur.

Aku tersedar apabila mendengar ketukan pintu bilikku. Aku pun membukanya. Ibu menyuruhku turun kerana bapaku ingin berbincang dengan aku mengenai sesuatu. Aku pun turun tanpa menjawab.

“Mira, ayah sungguh kecewa dengan sikap kamu yang sudah mula menghisap rokok. Itu perbuatan yang tidak baik. Mulai hari ini, kamu tidak dibenarkan keluar hingga ke larut malam dan mula mengulangkaji di bilik kamu untuk peperiksaan akan datang!” ayah bercakap dengan tegas.

Sebelum aku sempat membantahnya, dia menyambung percakapannya.

“Ayah dan ibu kamu akan pergi ke London selama tiga hari. Pada waktu yang sama, kami dijemput oleh seorang klien kami ke suatu majlis ini sebagai tanda terima kasih atas pertolongan yang kami berikan kepadanya. Oleh kerana kami tidak dapat menghadiri majlis tersebut, ayah akan menyuruh Mira untuk pergi ke majlis itu untuk mewakili kami. Jikalau semuanya berjalan dengan lancar, ayah akan menarik balik semua hukuman yang ayah berikan kepada Mira,” ayah berkata.

Sudah tentulah aku akan sanggup pergi ke majlis tersebut. Aku tidak pernah menghadiri majlis sebegitu yang sungguh membosankan bagiku. Walau bagaimanapun, aku membuat perjanjian tersebut sambil tersenyum.

Keesokan harinya, ayah dan ibu berangkat sebelum aku bangun dari tidur. Aku agak hampa kerana tidak dapat melihat mereka pergi. Aku berasa keseorangan di rumah yang besar yang kami tinggal. Apabila matahari sudah terbenam, aku mula bersiap-siap untuk pergi ke majlis tersebut. Sesudah beberapa jam, aku menyuruh pemandu ayah untuk menghantar aku ke majlis tersebut.

Sebaik sahaja aku sampai di tempat tersebut, aku sungguh kagum dengan tempatnya yang sungguh lawa dan menakjubkan. Tempat sebegini mesti mahal. Aku dijemput oleh seorang lelaki yang berpakaian segak di pintu keretaku lalu menghulurkannya kad jemputan yang ayah aku berikan.

Setibanya di majlis itu, aku dapati tiada seorang tetamu pun yang aku kenali. Aku berasa malu dan takut kerana aku dapat merasakan seperti banyak orang yang memandangku. Acara yang diadakan sungguh rasmi. Aku pun duduk bersama orang yang tidak dikenali dan berasa sungguh janggal. Semua tetamu dijemput makan dan menari.

Selepas beberapa jam, musik berhenti dan seorang wanita mula memberikan kata-kata aluan kepada tetamu yang sudi menghadiri majlis tersebut. Aku tidak mendengarkan kata-katanya kerana aku sungguh letih dan bosan duduk di sana.

Tiba-tiba, lampu terang menyinari ke tempat dudukku dan orang semua mula menepuk tangan mereka, Aku terperanjat dan hairan. Wanita tersebut telah memanggil aku untuk naik ke atas pentas untuk memberikan satu ucapan yang ringkas. Aku panik kerana tidak bersedia. Aku pun bangun dari tempat dudukku dan naik ke atas pentas. Semua orang memberikan perhatian mereka yang sepenuhnya sambil menantikan aku mula berbual. Aku tergagap tidak tahu apa ingin dikatakan. Tanganku mula berasa sejuk. Aku pula berpeluh walaupun aku berada di tempat yang sejuk.

“Errm... saya, sebagai anak kepada Mohd dan Hamidah, mewakili mereka untuk menghadiri ke majlis ini. Mereka tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugasan lain... errmm, saya ingin mengucapkan...,” aku berhenti dengan tiba-tiba.

Aku dapat merasakan ada sesuatu yang tajam di leherku. Ada seorang lelaki yang memegang sebilah pisau dan menunjuk kepada aku. Aku panik dan memekik meminta tolong. Orang ramai pun memekik khuatir akan keselamatanku.

“Semua diam! Jikalau tidak, aku akan membunuh dia! Kamu semua tidak berhati perut! Abangku tidak bersalah, dia tidak patut dipenjara selama sepuluh tahun. Kami orang susah, abangku dipenjara tetapi kamu semua di sini boleh berhibur-hibur setelah kamu menang dalam kes tersebut yang mengakibatkan abangku jadi sengsara. Ini tidak adil!” seorang lelaki berteriak kemarahan.

Aku menangis ketakutan. Tidak lama kemudian, polis pun datang. Mereka memberi amaran kepada lelaki tersebut untuk melepaskan aku jikalau tidak, dia akan menghadapi akibat yang buruk. Dia ingkar lalu cuba mencucukkan pisau itu ke dalam dadaku. Kejadian itu terjadi dengan cepatnya. Aku terdengar tembakan pistol. Selepas itu, aku terus pengsan dan tidak menyedari apa yang berlaku seterusnya.

Mataku terkebil-kebil cuba dibuka. Aku melihat diriku dikelilingi oleh beberapa orang termasuk ibu dan bapaku. Ibu dan bapa aku berasa sungguh lega kerana aku sudah sedar. Aku tidak tahu apa yang telah berlaku dan ayah mula menceritakan kepadaku. Dia memberitahu bahawa lelaki itu tidak boleh menerima kenyataan bahawa abangnya yang dipenjarakan. Akibat terlalu tertekan, dia ingin membalas dendam dan apabila aku nyaris dibunuh, polis telah menembaknya.

Aku berasa sungguh bersyukur kerana dapat diselamatkan. Ayah pula berasa serba salah kerana jikalau dia tidak menyuruhku untuk pergi ke majlis tersebut, aku tidak akan dicederakan. Ayah dan ibu pun meminta maaf kerana mereka tidak mempunyai masa untuk meluangkan masa mereka bersama aku. Aku berasa gembira kerana kami sudah kembali menjadi sebuah keluarga yang bahagia. Aku pun meminta maaf kepada mereka kerana banyak menyusahkan mereka. Ayah memberitahuku supaya buang yang keruh ambil yang jernih. Ibu dan ayahku pun mendakapku penuh erat. Inilah hari yang aku nanti-nantikan selama ini.


Comments:
Farahin, karangan kamu agak menarik tetapi bahagian awalnya terlalu banyak menceritakan mengapa kamu terpaksa menghadiri majlis tersebut.

Seharusnya, pengalaman berada di majlis tersebut diberikan lebih perhatian.

34/50
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?